fbpx

Liga Super: Selangor menang tipis ke atas Kelantan United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Selangor, Ayron Del Valle Rodriguez (dua dari kanan) diasak pemain Kelantan United ketika aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

JARINGAN tunggal menerusi tonggak pertahanan, Yazan Al-Arab menyelamatkan maruah Selangor dengan menewaskan Kelantan United 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Pada perlawanan ini, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe menurunkan empat muka baharu, Faisal Halim, Yohandry Orozco, Ayron Del Valle dan Noor Al-Rawabdeh dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, turun tanpa tekanan selaku pendatang baharu Liga Super, Kelantan United nyata pasukan yang cukup liat untuk ditundukkan malah penjaga golnya, Ahmad Asyraaf Omar turut tampil cemerlang ketika menafikan beberapa percubaan bahaya tuan rumah.

Selaku pasukan yang lebih berpengalaman di pentas tertinggi bola sepak Malaysia, Selangor jelas lebih mendominasi permainan khususnya di bahagian tengah namun sering dikecewakan oleh gerakan akhir di kawasan kotak penalti lawan.

Sepanjang 45 minit pertama, Ahmad Asyraaf langsung tidak boleh berehat dan minit ke-40, Al-Arab akhirnya berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat untuk meledak gol pembukaan perlawanan.

Bersambung babak kedua, Red Giants terus pamer penguasaan manakala peluang terbaik pelawat hadir pada minit ke-63 sebaliknya lencongan yang cuba dilakukan Asraff Aliffuddin Yasin berjaya dibaca dengan baik oleh Khairulazhan Khalid.

Walaupun masih kekal mengawal permainan, sebaik memasuki minit ke-65 tuan rumah seakan mula mengendurkan tempo dan menerapkan permainan lebih selamat.

Ahmad Asyraaf terus pamer aksi cemerlang ketika melakukan tepisan penting untuk menafikan percubaan Del Valle pada minit ke-82 sekaligus kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI