GUA MUSANG – Kerajaan memberi jaminan proses tender semula melibatkan enam projek tebatan banjir di beberapa buah negeri tidak akan mengambil masa yang panjang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan semula projek itu dijangka bermula dalam waktu terdekat sekiranya semua prosedur yang ditetapkan berjalan lancar.
“Kawasan yang terlibat dengan projek tebatan banjir sudah dikenal pasti oleh kerajaan dan skop kerja juga sudah ada. Pada hemat saya, proses tender semula tebatan banjir tidak mengambil masa panjang.
“Sehubungan itu, kaedah perolehan tender perlu dilakukan secara telus apabila ia dijalankan secara rundingan terus atau tander terpilih sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamat pada Belanjawan 2023 kelmarin.
Antara projek yang terlibat adalah rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor, pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir, sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor dan pembangunan lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.
Selain itu, Anwar turut menegaskan bahawa rundingan terus projek tebatan banjir yang tergesa-gesa tanpa penelitian sebelum ini hanya merugikan wang rakyat dan menguntungkan beberapa pihak. – KOSMO! ONLINE