fbpx

Risiko bida tuan rumah Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

SEMUA rakyat Malaysia mahu melihat skuad Harimau Malaya dapat beraksi di pentas Piala Dunia pada satu hari nanti dan cara yang paling ‘mudah’ untuk melayakkan diri adalah dengan bergelar tuan rumah.

Beberapa tahun sebelum ini terdapat cadangan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN­ (AFF) untuk negara-negara ASEAN­ sepakat membida tuan rumah pada kejohanan Piala Dunia edisi 2034.

Negara-negara serantau se­perti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand juga memberikan respons yang positif dalam usaha memastikan saingan bola sepak paling berprestij itu dapat dianjurkan di bumi ASEAN.

Difahamkan, FIFA tidak mempunyai masalah untuk negara-­negara bergabung menjadi tuan rumah memandangkan edisi 2026 nanti akan dianjurkan di tiga negara berbeza, Amerika­ Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Bagi edisi 2030, empat ne­gara Amerika Selatan, Argentina, Chile, Paraguay dan Uruguay sah menghantar bidaan rasmi untuk menjadi penganjur bersama pada awal bulan ini.

Jika negara-negara ASEAN­ sepakat untuk melakukan bi­daan, ini bukanlah sesuatu yang asing kerana Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia pernah menjadi penganjur bersama saingan Piala Asia edisi 2007.

Bagaimanapun, banyak per­kara yang perlu difikirkan jika cadangan tersebut diambil se­rius kerana ia memerlukan soko­ngan sepenuhnya daripada pihak kerajaan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, bukan se­nang untuk mana-mana negara menjadi tuan rumah bagi me­nganjurkan kejohanan Piala Dunia dan jika benar negara ASEAN serius, sudah pasti perbincangan perlu dimulakan.

“Bukan tugas mudah untuk jadi tuan rumah (Piala Dunia). Negara terbabit perlu kuat daripada aspek kewangan, infrastruktur dan keselamatan.

“Cuma buat masa ini saya anggap masih terlalu awal ke­rana komitmen yang diperlukan cukup tinggi dan kita juga tidak mahu sekadar membida sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui idea untuk membida tuan rumah Piala Dunia adalah satu perkara yang positif kerana boleh memberi impak besar di rantau Asia Tenggara.

Menurut Pekan, jika impian itu menjadi realiti, ia sudah pasti memberikan konteks yang positif seperti yang kita dapat lihat bagaimana bola sepak Korea Selatan dan Jepun yang semakin pesat selepas menjadi tuan rumah edisi 2002.

“Kejohanan seperti Piala Dunia sememangnya boleh memberikan impak besar kepada masyarakat khususnya di pe­ringkat ASEAN. Situasi ini telah berlaku pada Korea Selatan dan Jepun sebelum ini.

“Motivasi pasukan, semangat penyokong bola sepak serantau juga sudah tentu membara dalam usaha meningkatkan kua­liti permainan memandangkan kita akan layak secara automatik nanti.

“Cuma, buat masa ini saya anggap ia masih agak sukar untuk direalisasikan kerana impilikasi daripada aspek ekonomi agak besar memandangkan ba­nyak fasiliti berkelas dunia perlu dibina.

“Selain itu, sudah pasti kita juga tidak mahu pasukan negara sekadar mengambil bahagian dan tersingkir awal seperti yang terjadi pada Qatar sewaktu menjadi tuan rumah tahun lalu.

“Andai serius, skuad kebangsaan kita perlu mantap dahulu agar boleh menjadi seperti Korea Selatan atau Jepun yang mana mereka memiliki kualiti untuk mara ke pusingan kalah mati ­Pia­la­ Dunia.

“Jika tidak, sudah pasti ia menjadi pembaziran memandangkan kos penganjuran yang besar bakal dikeluarkan,” katanya.

Difahamkan, kos penganjuran Piala Dunia sememangnya cukup tinggi memandangkan Qatar sen­diri perlu mengeluarkan dana me­lebihi AS$200 juta (RM886.9 juta) dalam persediaan untuk menjadi tuan rumah pada edisi 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI