fbpx

Konsert taraf antarabangsa, Raihan tiada tandingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIHAN menyentuh emosi seramai 3,000 peminat pelbagai generasi pada Konsert Garis Masa Raihan baru-baru ini.

MENJANGKAUI ekspektasi, sepertinya perkataan puas tidak cukup untuk menggambarkan kehebatan Konsert Garis Masa Raihan yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Februari lalu.

Bergenre nasyid, namun penulis merasakan seperti menonton persembahan kumpulan bertaraf antarabangsa sepanjang tiga jam acara berlangsung.

Diiringi lebih 15 pemuzik hebat termasuk pemain perkusi terkenal dunia, Steve Thornton dan gitaris terkenal, Rody Kristal ternyata berjaya menghasilkan sebuah bunyi setaraf konsert berprestij.

Tidak membiarkan seramai 3,000 penonton berlama-lama menanti, Raihan yang dibarisi tiga ahlinya, Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim membuka pentas tepat pukul 10 malam dengan lagu Dunia diikuti Peristiwa Subuh dan Puji-Pujian.

PERJUANGAN yang terus berjalan, Raihan meninggalkan memori menyentuh jiwa usai penganjuran Konsert Raihan Garis Masa baru-baru ini. Foto – AFIQ RAZALI

Berjaya ‘membangunkan’ semangat penonton, Raihan sempat bertanya sama ada mereka perlu berbicara panjang atau hanya meneruskan sahaja persembahan.

“Menyanyi!” balas penonton.

Mencetuskan kelainan, Raihan muncul dengan mengalunkan Assolatuwassalam dalam versi acapella diiringi beatbox sebelum mendendangkan tiga buah lagu dengan bahasa berlainan iaitu Ching Ai Cing Ai dalam bahasa Cina, Allahu (Urdu) dan Bit Taqwa (Arab).

Terharu dengan sambutan ramai, Abu Bakar menitipkan ucapan penghargaan kepada peminat yang sudah bertahan bersama Raihan sepanjang tempoh 27 tahun.

“Kehadiran anda ke konsert ini cukup membuktikan lagu-lagu Raihan masih ‘hidup’ dalam hati semua. Terima kasih untuk sokongan sepanjang 27 tahun kami bertapak dalam industri seni,” katanya.

Lebih mengharukan apabila Raihan melihat ramai ibu bapa hadir bersama anak-anak ke acara tersebut.

“Paling saya gembira apabila ada sebuah keluarga termasuk anak mereka yang masih kecil memberitahu meminati Raihan. Walaupun kami rasa sudah ‘tua’ dalam industri, masih ada juga golongan muda suka dengan muzik Raihan,” jelas Che Amran.

Raihan terus menggamit memori zaman kanak-kanak menerusi tiga lagu kegemaran ramai iaitu Sifat 20, 25 Rasul dan 10 Malaikat.

PERSEMBAHAN Raihan bertaraf antarabangsa apabila mengundang pemuzik handalan tempatan termasuk dari luar negara, perkusi Steve Thornton.

Memasuki babak terakhir persembahan, Raihan berjaya menakluk jiwa penonton dengan lagu Sesungguhnya, pengisian tentang hamba Allah SWT yang tidak pernah berhenti mencari rahmat Tuhan.

Rasa syahdu menyelubungi seluruh stadium dan sekilas terlihat beberapa penonton menyeka air mata tatkala lagu tersebut didendangkan.

Terus menyentuh sanubari, gegak gempita bergema ketika lagu Wahai Kawan-Kawan dimainkan dengan iringan persembahan pentomen.

Penutup yang gemilang, Raihan mendendangkan lagi ikonik mereka iaitu Iman Mutiara yang dipetik daripada album pertama Puji-Pujian.

Lagu tersebut juga merupakan salah sebuah karya yang berjaya mengangkat nama kumpulan gah itu sehingga mampu mengadakan konsert jelajah di seluruh dunia sehingga ke Royal Albert Hall London sekitar 2008.

Seperti mendapat satu kepuasan maksimum, penonton memberikan standing ovation dan sorakan kegembiraan usai lagu terakhir didendangkan.

Ibarat masakan yang sempurna rasanya, begitulah dapat diibaratkan untuk konsert Raihan yang memang dinanti-nanti ramai sejak tahun 2000.

Satu penantian yang berbaloi dan semoga menjadi asbab untuk lebih banyak penganjuran konsert nasyid pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI