LEICESTER – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji kekebalan benteng pertahanan The Gunners ketika mereka mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power malam kelmarin.
Dalam pada itu, beliau enggan terheret dalam isu Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas pengadil perlawanan membatalkan jaringan Leandro Trossard selain tidak memberikan sepakan penalti kepada Arsenal.
“Saya tidak melihat ulang tayang (jaringan Trossard) dan keputusan sudah dibuat. Apa yang boleh kami lakukan? Satu kerugian kerana jaringan itu cukup menarik, namun kami tidak mahu ia menjejaskan fokus.
“Bagi insiden yang melibatkan Saka, sekali lagi saya tidak mahu ulas lanjut, cuma nasib tidak menyebelahi kami pada hari ini (kelmarin). Perlawanan sudah tamat, jadi saya tidak kisah,” ujar Arteta.
Gol tunggal perlawanan menerusi pemain sayap, Gabriel Martinelli pada minit ke-46 sudah cukup bagi memastikan Arsenal terus mengekalkan kelebihan ke atas Manchester City dalam perebutan takhta liga musim ini.
Walaupun banyak diasak jentera serangan The Foxes sepanjang 90 minit permainan, namun kekebalan benteng pertahanan Arsenal menyaksikan mereka hanya membenarkan tuan rumah melakukan satu percubaan ke arah pintu gol.
“Sekiranya dilihat pada penguasaan bola yang kami ada selain situasi dalam kawasan pasukan lawan, kami sepatutnya cipta lebih banyak peluang dan perlu menjaringkan lebih daripada satu gol.
“Jika kami tidak begitu bagus di bahagian serangan, sekurang-kurangnya barisan pertahanan melakukan tanggungjawab cukup baik apabila membenarkan Leicester mencipta satu peluang sahaja sepanjang perlawanan,” katanya. – AGENSI