fbpx

Cicak tokek ganas jadi mainan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman video TikTok menunjukkan tiga kanak-kanak asing bermain dengan cicak tokek di Thailand. - Foto Thaiger

BANGKOK – Netizen keliru menonton satu klip video di laman TikTok yang menunjukkan tiga kanak-kanak warga asing bermain dengan cicak tokek iaitu sejenis reptilia agresif paling digeruni oleh penduduk Thailand, lapor portal berita Thaiger.

Cicak tokek tidak berbisa tetapi boleh bertindak agresif, manakala tempat terkena gigitannya akan mengalami pendarahan. Haiwan itu akan mengunci rahang apabila menggigit dan tidak akan melepaskan gigitannya.

Dalam klip video itu, tiga kanak-kanak berkenaan dilihat sedang duduk di atas lantai sambil bergilir-gilir memegang dan membelai cicak tokek seolah-olah ia haiwan peliharaan.

Haiwan yang ditunjukkan dalam klip video tersebut pula jinak dan tidak melawan apabila kanak-kanak tersebut mengambil dan bermain dengannya.

Pengguna TikTok @cupisdlove menyiarkan video itu Rabu lalu bersama keterangan gambar: “Saya berjalan melintasi mereka ketika pergi ke kedai serbaneka dan menyangka cicak tokek itu adalah mainan getah. Saya melihatnya semula dan menyedari ia hidup!

Video itu mendapat lebih 126,000 tanda suka, lebih 3,000 komen dan lebih 8,000 perkongsian di Tiktok.

Netizen Thailand menyatakan rasa kagum mereka berhubung situasi tersebut, manakala ramai juga bimbang cicak tokek itu akan memberikan gigitan yang berbahaya.

Seorang netizen menulis: “Saya terkejut kerana ia tidak kelihatan marah atau cuba menggigit”.

Di Thailand, sebanyak 19 spesies cicak tokek dilindungi oleh Akta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar.

Sesiapa yang memburu atau memperdagangkan cicak tersebut boleh dihukum penjara empat tahun, denda sehingga 40,000 baht (RM5,089) atau kedua-duanya sekali. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI