fbpx

Jangan dibutakan wang, pengaruh, darjat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAJAH-WAJAH selebriti yang terkait dalam siasatan SPRM berhubung kes Macau Scam.

SEJAK pelawak yang juga penyampai radio Hot FM, Shuib Sepahtu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal Oktober akibat terkait siasatan kes pengubahan wang haram, satu persatu ‘skandal wang gelap’ membabitkan figura popular cuba dibongkar.

Selain Shuib, timbul beberapa nama lain yang bukan sahaja datang dalam kalangan selebriti bahkan Instafamous. Sharnaaz Ahmad dan Farah Mendoza. Terbaharu, biarpun menafikan, Zulin Aziz dan Rozita Che Wan terkena tempias hampir serupa.

Pada masa sama, ada nama selebriti turut terpalit isu sindiket pelacuran kelas atasan, konon-kononnya dibayar antara RM20,000 sehingga RM40,000 untuk servis satu malam.

SHUIB dan Siti Sarah.

Kenapa sekarang?

Isunya di sini, mungkin pada mata kasar sesetengah pihak bahawa dunia hiburan tidak boleh lari daripada skeptikal punca pendapatan yang diragui ‘ketelusan’ sumbernya.

Persoalannya juga, mengapa baru sekarang perkara tersebut hendak digembar-gemburkan, selepas berdekad lamanya industri yang glamor dan banyak lorong hitam seperti kebal daripada sebarang penguatkuasaan.

Terkait sama apabila seorang ahli perniagaan berstatus Datuk dilaporkan terlibat dalam kes penipuan Macau Scam, judi online dan penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing Forex.

Itu pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang akhbar di Bukit Aman Rabu lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket pusat panggilan judi online antarabangsa melibatkan individu itu menjalankan kegiatan mempromosi selain memperdaya mangsa pelaburan Forex.

Dalam kalangan selebriti yang disiasat, setakat ini, tiada ada seorang pun yang ditangkap atau didapati bersalah. Kebanyakan hanya dipanggil bagi membantu siasatan.

Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengakui ada berhubung dengan SPRM bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, atas nasihat pihak SPRM, Sharnaaz enggan memperincikan hal tersebut.

“Ya, memang saya ada berhubung dengan SPRM tentang isu tersebut (pengubahan wang haram). Namun, saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan.

“Apa pun, saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil oleh pihak SPRM. Itu sahaja yang boleh saya kongsi buat masa sekarang,” katanya kepada Pose.

SHARNAAZ AHMAD

Tangkap ‘ikan besar’

Sementara itu, tiada angin tiada ribut, nama Che Ta pula turut terkait apabila untaian foto dirinya dengan isteri ‘Datuk’ Macau Scam mula tersebar dalam media sosial.

Pelakon Kiah Perkasam itu mengakui mengenali pasangan yang sering mempamerkan kemewahan melampau dalam media sosial itu atas urusan kerja. Dia pernah dibayar untuk membuat kemunculan pada acara hari lahir anak pasangan tersebut tahun lalu.

“Mereka bayar saya untuk buat kemunculan hari lahir anaknya. Dia hubungi saya melalui Man Kajang (seorang pereka fesyen). Saya muncul satu jam sahaja selepas itu kami sudah tidak berjumpa.

“Kemunculan saya itu dibayar dan dia bayar penginapan saya di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Kiranya, itu pertama kali dan terakhir saya jumpa dia. Sekitar tahun lalu dua hari sebelum sambutan Raya Haji,” kata isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu.

Dedah Che Ta lagi, melalui Man Kajang, wanita itu ada menghubunginya sekali lagi sekitar bulan lalu untuk beli busana kegemarannya.

“Man Kajang ada berhubung dengan saya bulan lalu sebab Datin ingin beli gaun jenama pakaian premium untuk menghadiri sebuah acara bertemakan warna biru putih.

ROZITA CHE WAN

“Tetapi saya tidak jual gaun itu sebab sayang,” ujar Che Ta.

Ditanya sama ada dia bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil pihak SPRM membantu siasatan, ujar Che Ta:

“Berani kerana benar. Saya bersedia memberikan kerjasama andai dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dan disiasat.”

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin, penulis percaya, banyak perkara yang jisim keseriusannya turut memerlukan perhatian ramai seperti pandemik Covid-19 yang kian meruncing termasuk kestabilan politik tanah air yang membimbangkan hari demi hari.

Jika benar didapati bersalah, bak kata orang putih, ‘they need to be held responsible’ dan jangan dibutakan atau ditulikan dengan wang ringgit, kuasa atau darjat. Tak guna sekadar menangkap, jika jerung masih berleluasa di laut yang sama. Di situ adanya integriti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI