PUTRAJAYA – Pelakon Sophia AlBarakbah mengakui fokusnya melunaskan penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah tidak terganggu meskipun terpalit dengan dakwaan sebagai penyondol dalam rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah.
Menurut Sophia, 30, semua kru produksi termasuk para pelakon tidak pernah menyuarakan tentang isu tersebut semasa di set penggambaran.
“Semua orang di set penggambaran bekerja secara profesional. Sejak hari pertama kami bekerja, masing-masing fokus terhadap kerja dan tiada pun yang bercakap tentang perkara lain.
“Jadi, saya memang tidak terganggu sepanjang tempoh penggambaran,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar Anugerah Drama Sangat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi drama Suamiku Seorang Pendosa itu tidak menyangka Ku Akad Kau Dengan Bismillah meledak sehingga menjadi bualan ramai dalam media sosial.
“Pada mulanya saya memang tak jangka mereka akan beri tumpuan tentang drama ini, ramai pula yang suka.
“Selalunya selepas tamat penggambaran baru drama meletup tetapi sebaliknya berlaku untuk kali ini. Saya gembira dengan respons dan pujian ramai mengenai jalan cerita serta keserasian antara pelakon,” jelasnya.
Disebabkan kerja keras untuk drama tersebut, dia hanya dapat menikmati waktu tidur sekitar empat hingga lima jam sehari.
“Semua orang bekerja keras dan saya pun hanya dapat tidur empat atau lima jam sehari.
“Namun bila lihat ramai suka, saya bangga dengan diri sendiri kerana sudah berikan yang terbaik untuk drama ini,” ujarnya.
Kehadiran Sophia ke acara pada hari ini mengejutkan ramai kerana Bella turut berada di lokasi sama namun mereka dilihat langsung tidak saling bertegur sapa.
Kedua-dua pelakon itu bertembung dalam kategori Drama Popular iaitu Suamiku Lelaki Pendosa dan Aku Tanpa Cintamu.
Terdahulu, dakwaan Sophia menjadi pengganggu rumah tangga Aliff mula menjadi bualan hangat apabila Bella mendedahkan seorang aktres kerap menghubungi suaminya.
Bella juga mendakwa aktres berkenaan mengaku jatuh hati dengan suaminya selepas bergandingan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Tidak tahan dengan gangguan dan sikap berdiam diri Sophia, Bella juga nekad memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp mereka dalam Instagram namun dipadam beberapa jam kemudian.
Sementara Aliff juga memberitahu tidak akan lagi berlakon bersama Sophia dalam mana-mana drama selepas ini bagi menghormati perasaan isterinya dan mengelak hal-hal tidak sepatutnya. – KOSMO! ONLINE