PETALING JAYA – “Pergh! Pakai braces (pendakap gigi) dah. Tahniah.”
Itu komen yang ditinggalkan oleh pelakon kontroversi Hafidz Roshdi pada ruangan komen gambar dimuat naik bekas isterinya, Nurul Shuhada dalam Instagram sehingga mendapat ratusan kecaman daripada netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya kelmarin, Shuhada berkongsi foto terkini dirinya ketawa sehingga menampakkan giginya yang baru dipasang pendakap gigi.
“Salam Jumaat. Alhamdulillah Shu (dirinya), Humairah dan Umar (anak-anak) baik-baik sahaja di sini. Doakan yang baik untuk kami,” tulis Shuhada.
Bagaimanapun, tindakan Hafidz meninggalkan komen pada gambar tersebut seperti seolah-olah tiada apa-apa berlaku sehingga membuatkan netizen berasa geram dan mendakwa dia mengalami masalah mental.
Rata-rata pengguna Instagram mengecam tindakan pelakon drama Aku Seorang Perempuan itu dan berasa pelik sekiranya dia tidak mengetahui bekas isterinya itu memakai pendakap gigi.
“Eh! Sampaj bini (isteri) sendiri pakai pendakap gigi pun tak tahu? Nampak sangat tak pernah ada di rumah,” ujar seorang netizen.
Pada masa sama, netizen juga menganggap Hafidz tidak ubah seperti seorang lelaki psiko dan tidak tahu malu kerana masih berani meninggalkan komen pada gambar bekas isterinya walaupun telah menceraikan wanita itu.
“Psiko agaknya,” kata seorang netizen.
“Sumpah psiko,” kata seorang lagi netizen.
Tidak kurang juga ada segelintir netizen berpendapat Hafidz seperti mengalami masalah mental dan memerlukan sokongan.
“Gaya dia ini memang tekanan. Sakit mental dia tak berapa nak okey. Memang perlukan sokongan,” kata seorang pengguna Instagram.
Kemelut rumah tangga Shuhada dengan Hafidz yang sebelum ini didakwa curang sampai ke kemuncak apabila pelakon itu melafazkan cerai talak satu bersaksikan keluarga menerusi telefon.
Difahamkan, Shuhada akan memfailkan pengesahan lafaz cerai pada 1 Mac ini yang jatuh pada hari lahirnya. – KOSMO! ONLINE