AMPANG JAYA – Seorang pemandu teksi warga Indonesia ditahan selepas disyaki mencabul seorang anggota polis wanita di sebuah medan selera di AU5, Lembah Keramat, Taman Melawati, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, insiden kira-kira pukul 10.50 pagi itu berlaku apabila seorang anggota polis berusia 30 tahun, sedang berdiri berhampiran meja untuk memilih kuih di sebuah gerai.
Katanya, anggota tersebut mendakwa seorang lelaki yang berada di belakangnya telah meraba punggungnya.
“Anggota yang bertugas di Balai Polis Hulu Klang itu kemudian bertanyakan sebab lelaki terbabit berbuat sedemikian.
“Suspek bagaimanapun tidak mengaku, sebaliknya menyalahkan pengadu kerana berdiri di kawasan sempit, selain memberitahu bahawa dia datang bersama isteri dan sedang bersarapan di situ.
“Ekoran itu, polis menerima aduan pada pukul 12.45 tengah hari sebelum ke lokasi kejadian untuk menangkap suspek,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Farouk, suspek merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 58 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi.
Jelasnya, suspek direman tiga hari hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. -KOSMO! ONLINE.