fbpx

Struktur LRT rosak, bas perantara ditambah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkhidmatan bas perantara LRT11 yang beroperasi di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya akan ditambah mulai esok bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan tersebut.

Rapid Rail Sdn. Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini berkata, ia ekoran kekerapan tren di antara Sentul Timur dan Bandaraya akan dikurangkan atas faktor keselamatan.

Jelasnya, sejumlah 15 buah bas perantara LRT11 akan beroperasi di antara kedua-dua stesen tersebut dengan kekerapan setiap 10 minit.

Gambar rajah laluan bas perantara percuma LRT11 di Laluan Ampang/ Sri Petaling.

“Penambahan bas perantara ini adalah bagi menyokong operasi tren di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya yang akan beroperasi dengan kekerapan setiap 24 minit mulai esok.

“Perkhidmatan bas tersebut akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya.

“Anggota operasi rel, polis bantuan dan ‘troopers’ akan ditugaskan di stesen-stesen tersebut bagi membantu mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform,” katanya.

Tambahnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut akan menyokong dengan laluan khas bas bagi melancarkan perjalanan.

Lima buah tren yang sebelum ini digunakan di antara Sentul Timur dan Bandaraya tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani penyelenggaraan.

Masalah itu disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

“Hanya dua daripada lima buah tren kini memenuhi kriteria keselamatan dan operasi yang ditetapkan sementara tiga buah tren lagi telah dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

“Kedua-dua tren tersebut akan digunakan secara bergilir mulai esok dan akan beroperasi pada tahap optimum, sekaligus mengelakkan penutupan sepenuhnya stesen-stesen di antara Sentul Timur dan Bandaraya,” ujarnya.

Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang dan akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesulitan yang dialami. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI