PETALING JAYA – Pemuda Pas meluahkan kekecewaan terhadap Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu disebabkan banyak ‘kelompongan’.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nazir Helmi berkata, banyak perkara tidak disentuh dalam belanjawan terbabit antaranya isu mahasiswa, perumahan belia dan juga peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Jelas beliau, mahasiswa dan pelajar tidak begitu diraikan dan dipandang sepi oleh kerajaan apabila tidak ada satu pun perkataan ‘mahasiswa’ disentuh dalam pembentangan belanjawan kali ini.
“Meskipun dinyatakan berkenaan bantuan e-tunai belia Rahmah, namun mahasiswa mempunyai cabaran dan keperluan khusus yang tersendiri.
“Berbeza dengan pembentangan Belanjawan Keluarga Malaysia, yang secara spesifik memberikan bantuan e-tunai kepada golongan mahasiswa berusia 21 tahun dan ke atas. Malah terdapat banyak bantuan mesra mahasiswa dan anak muda sebelum ini, berbanding sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di laman Facebook.
Tambah beliau, kerajaan juga masih memandang sepi isu pemilikan rumah pertama untuk golongan belia yang kurang berkemampuan meskipun pelbagai fakta dan cadangan telah dilontarkan.
Mengulas lanjut, Nazir berkata, Pemuda Pas juga kecewa dengan sikap kerajaan yang mengamalkan politik dendam, apabila tiada peruntukan dan projek khusus diumumkan kepada negeri pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, ia termasuklah status projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), serta peruntukan bagi ahli parlimen pembangkang.
“Di atas kelompongan-kelompongan ini, Pemuda Pas berpendapat Belanjawan kali perlu dikaji semula dan ditambah baik demi memastikan rakyat mendapat manfaat seadilnya.
“Pemuda Pas akan memanfaatkan sepenuhnya sesi perbahasan Belanjawan 2023 yang akan berlangsung kelak, dengan harapan agar kebajikan seluruh rakyat Malaysia dapat dijaga sebaiknya,”jelasnya.- KOSMO! ONLINE