PETALING JAYA – Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) selaku pemain industri yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan perolehan kerajaan menyokong cadangan terhadap penggubalan Akta Perolehan Kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
CDC dalam satu kenyataan berkata, perolehan kerajaan adalah salah satu bidang yang amat terdedah kepada perbuatan menyalah guna kuasa, rasuah serta penyelewangan dan pihaknya menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan sepertimana dibetangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 semalam.
“Pendirian ini adalah mengambil kira keperluan undang-undang dan dasar perolehan yang lebih telus akan dapat membantu melengkapkan kawalan secara menyeluruh berkaitan proses perolehan kerajaan dan juga sistem ePerolehan sedia ada.
“Dalam masa yang sama, CDC juga menyambut baik cadangan meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dalam usaha kerajaan membanteras rasuah dan salah laku,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebelum ini, cadangan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan pernah dikemukakan pada tahun 2019, namun ditangguh oleh pentadbiran kerajaan pada ketika itu. – KOSMO! ONLINE