fbpx

Botol minuman, kertas penuhi laluan CSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMPAH sarap yang dibuang segelintir pengguna jalan raya di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) Lipis-Gua Musang di Lipis.

LIPIS – Setiap kali musim cuti sekolah, sampah pasti akan memenuhi Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Penduduk beberapa buah kampung sekitar Padang Tengku yang berdekatan CSR tersebut kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya.

‘Fenomena’ ini berlaku bermula musim cuti persekolahan dan boleh dilihat pada permulaan masuk pintasan CSR berdekatan Kampung Kechau yang me­nyaksikan sampah seperti botol minuman dan kertas berselerakan di tepi laluan tersebut.

Keadaan sama juga boleh dilihat sepanjang jalan Kampung Relong dan persimpangan Chegar Perah, di sini.

Penduduk Kampung Relong, Baharuddin Sa’aid, 63, berkata, sikap itu amat mengecewakan kerana sampah dibuang sesuka hati sehingga berlaku pencemaran di sepanjang laluan tersebut.

“Pengguna dilihat membuang sampah dari tingkap kenderaan atau dilakukan mereka yang berhenti rehat di tepi laluan ini.

“Saya jangka senario ini berterusan sehingga Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kerana tempoh itu antara waktu puncak ramai pulang kampung masing-masing,” katanya di sini semalam.

Penduduk Kampung Kechau, Ismail Abdullah, 45, berkata, adalah wajar jika segera dibina sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi membolehkan pengguna berhenti rehat, solat dan bersantai.

“Saya beranggapan segelintir sahaja pengguna di laluan CSR ini membuang sampah, manakala mereka yang lain bertanggungjawab serta cakna dengan kebersihan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI