LONDON – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mula melancarkan perang psikologi ke atas Newcastle United menjelang perlawanan akhir Piala Liga England (EFL) di Wembley yang dijadualkan berlangsung tengah malam ini.
Beliau mendakwa The Magpies mungkin akan menggunakan helah melengah-lengahkan masa pada perlawanan itu nanti, sama seperti yang dilakukan pasukan tersebut ketika bertemu Arsenal dan Liverpool sebelum ini.
Justeru, Ten Hag berharap anak-anak buahnya dapat mencari jalan terbaik untuk mendapatkan kemenangan sekiranya Newcastle cuba menggunakan helah dengan banyak membuang masa permainan.
“Saya fikir mereka adalah salah satu pasukan yang sangat menjengkelkan setiap kali bertemu. Kami perlu gunakan kebijaksanaan selain menampilkan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan.
“Mereka akan cuba membuatkan anda rasa berang tetapi saya sudah pesan kepada semua pemain supaya fokus kepada perlawanan sahaja. Saya tidak mahu mereka terikut-ikut dengan perasaan jika diprovok,” katanya.
Pengendali dari Belanda itu mendedahkan, mereka akan cuba menerapkan corak permainan pantas pada perlawanan tersebut bagi memastikan Newcastle tidak berpeluang untuk menggunakan taktik berkenaan.
“Sekarang terpulang kepada kami untuk tingkatkan tempo permainan, namun ia bergantung kepada pengadil perlawanan juga. Jika dilihat pada rekod liga, Newcastle paling banyak membuang masa,” ujar Ten Hag. – AGENSI