PETALING JAYA – Amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melibatkan empat daerah di Sabah susulan jangkaan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang bakal melanda kawasan tersebut sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam laporan di Facebooknya berkata, antara kawasan berisiko adalah Pedalaman (Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan).
Sementara itu, dalam kenyataan lain, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama melibatkan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga 1 Mac 2023.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.
Selain itu, amaran kenaikan paras laut turut dikeluarkan merangkumi kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula hari ini sehingga Selasa depan.
“Keadaan ini berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE