LOS ANGELES, California – Salji lebat turun di selatan California kelmarin ketika ribut salji pertama dalam tempoh satu generasi membadai bukit bukau di sekitar Los Angeles, dengan beberapa kawasan lain diancam banjir akibat hujan lebat.
Jalan-jalan utama ditutup kerana ais dan salji menjadikannya tidak dapat dilalui, termasuk beberapa bahagian di lebuh raya rentas negeri Interstate 5 yang menghubungkan Mexico, California, Barat Laut Pasifik dan Kanada.
Pihak berkuasa masih belum pasti bila lebuh raya itu akan dibuka semula.
“Impak berkaitan salji berpotensi mengancam nyawa terutamanya di laluan-laluan gunung, padang pasir dan kaki bukit di selatan California.
“Salji lebat ditambah dengan angin kencang akan membawa kepada keadaan ribut salji di beberapa kawasan tinggi dan laluan gunung,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Salji dan angin kencang menumbangkan talian elektrik, dengan 100,000 pelanggan di California terputus bekalan elektrik, demikian menurut poweroutage.us.
Ahli meteorologi tempatan, Daniel Swain berkata, iklim semakin panas akibat pembakaran bahan api fosil secara tidak terkawal oleh manusia sejak pada zaman perindustrian, menyebabkan kepanasan pada musim sejuk di kawasan itu berubah.
Katanya, pada abad lalu, banyak lagi tempat lain mungkin pernah melihat salji dalam kejadian ribut seperti ini.
“Pada tahun 1940-an terdapat rekod salji lebat di bandar Los Angeles dan sudah tentu ia di luar pemikiran kita.
“Realitinya, iklim di California menjadi beberapa darjah lebih panas berbanding dahulu, menjadikan fenomena salji semakin tidak berkemungkinan,” katanya.
Bagi penduduk di kawasan rendah pula, hujan lebat kelmarin mencetuskan amaran banjir dan tanah runtuh.
Pengawasan banjir telah disediakan di kawasan Ventura, Los Angeles dan Santa Barbara di mana taburan hujan 2.5 sentimeter turun dalam masa sejam.
“Amaran banjir dan tanah runtuh dipertingkatkan,” kata NWS. – AFP