KOTA BHARU – Seramai 1,000 penduduk kampung yang menunggang motosikal di sekitar Kubang Kerian menerima sumbangan petrol daripada seorang ahli perniagaan di sebuah stesen minyak di Jalan Tok Kenali di sini hari ini.
Kebanyakan penduduk hadir ke stesen minyak itu 30 minit awal untuk beratur bagi mengisi penuh tangki minyak mereka meskipun program Minyak Petrol Percuma anjuran Abam Peah Holdings Sdn. Bhd. (Abam Peah) itu bermula pada pukul 9 pagi tadi.
Seorang pembantu kedai, Zawawi Mamat, 56, berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui media sosial semalam dan keluar rumah kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Semasa tiba di stesen minyak, saya lihat ramai penunggang motosikal beratur untuk mengisi petrol. Alhamdulillah, saya dapat memenuhkan tangki minyak dengan mengisi petrol sebanyak RM5 dalam program tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang suri rumah, Salfariza Che Harun, 41, pula berkata, dia sedang dalam perjalanan ke Pasar Tok Kenali di sini dan sudah bercadang untuk berhenti di stesen minyak tersebut.
“Saya mengetahui program anjuran Abam Peah menerusi media sosial kira-kira seminggu lalu. Meskipun perlu menunggu giliran, saya dapat mengisi penuh tangki minyak motosikal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Abam Peah, Azli Mohd. Noor, berkata, seramai 1,000 penunggang motosikal dapat mengisi petrol secara percuma dalam program yang dianjurkan selama dua jam di stesen minyak tersebut.
Menurutnya, ia merupakan program kali ketiga yang dianjurkan oleh Abam Peah dalam tempoh dua tahun.
“Program Minyak Petrol Percuma dijalankan untuk membantu penduduk kampung mengurangkan perbelanjaan harian mereka terutamanya kos untuk mengisi petrol.
“Saya berharap sumbangan petrol percuma yang dianjurkan dapat meringankan beban penduduk kampung dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.