KUANTAN – Seorang penolong jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM516,325.
Perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 1 Mac depan itu dikeluarkan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.
Menurut sumber, Penolong jurutera itu ditahan pada pukul 6.56 petang semalam ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang untuk diambil keterangan.
Penjawat awam yang berusia 44 tahun itu didakwa meminta suapan antara RM1,000 hingga RM95,000 antara tahun 2018 sehingga 2002.
Tertuduh yang bertugas di bahagian jalan, jabatan tersebut didapati memperoleh suapan daripada seorang kontrator sebagai balasan mencadangkan syarikat proksinya diambil sebagai sub-kontraktor bagi projek pembaikan cerun daripada JKR Daerah Raub.
Dalam pada itu juga, tertuduh turut didapati membantu bagi mendapatkan bayaran tuntutan kerja membaiki cerun tersebut.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE.