fbpx

Kerispatih gamit nostalgia, terima kasih Anuar Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERISPATIH bersama Sammy membuai emosi dan nostalgia lebih 2,000 penonton pada konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi. - Echolalia Pictures

KUALA LUMPUR – Mendendangkan lebih 20 buah lagu, Kerispatih bersama bekas vokalisnya, Sammy Simorangkir membuatkan lebih 2,000 audiens terbuai dengan nostalgia lampau.

Dengan durasi lebih dua jam bertempat di Zepp Kuala Lumpur, Kerispatih yang kini dianggotai Badai selaku keyboard, Anton (dram), Arief (gitaris), Andika (bass) dan vokalis Fandy membuktikan bahawa muzik mereka kekal menjadi laungan para peminat di Malaysia.

Nuansa konsert bermula sekitar pukul 8.30 malam itu diberi judul Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir.

Penyatuan Sammy dan Kerispatih di atas pentas sama menjadi saksi bahawa muzik band kelahiran seberang yang pernah menjadi fenomena utama suatu ketika dahulu masih ditagih peminat tanah air.

Siapa mampu menidakkan galau rasa ditinggalkan antem seperti Mengenangmu, Tapi Bukan Aku dan Bila Rasaku Ini Rasamu.

Meskipun vokalis asal, Sammy dan Kerispatih tidak lagi bersama sebagai satu kumpulan namun itu tidak menjadi penghalang buat mereka melahirkan sebuah persembahan yang sangat menggamit memori mereka yang membesar sekitar awal 2000-an.

“Bagi saya sendiri, persembahan ini adalah momen yang sangat bernostalgia. Dulu kami semua belum bernikah dan belum punya anak. Sekarang dah lain.

“Konsert bersama Kerispatih memang memori yang indah. Saya sangat bahagia berada di Malaysia. Dah bertahun-tahun lamanya, orang Malaysia masih ingat lagi kami,” katanya pada sidang media ringkas sebelum melunaskan konsert, malam tadi.

VOKALIS unggul tanah air, Anuar Zain turut hadir memberi sokongan terhadap Kerispatih yang menyaksikan kumpulan tersebut mendendangkan lagu popularnya, Lelaki ini sebagai ‘tribute’ kepada dirinya.

Di atas pentas, Sammy dan Fandy bertukar baton menghibur audiens dan ada ketikanya, mereka bersatu sebagai satu kumpulan dan memberi simbolik bahawa muzik itu sifatnya menyatukan bukan memisahkan.

Listrik vokal Sammy masih lagi luar biasa dan begitu juga energi yang dicernakan vokalis baharu Kerispatih, Fandy. Sebagai satu kumpulan mereka bermuafakat memberi yang terbaik buat tatapan audiens di Malaysia.

Selain menghibur dan menyelak kembali nostalgia lama, satu perihal yang menjadi percakapan pada malam persembahan adalah apresiasi Sammy kepada vokalis unggul Malaysia, Anuar Zain.

Kata Sammy yang sempat mendendangkan lagu dipopularkan Anuar bersama Kerispatih berjudul Lelaki Ini, mereka sangat terhutang budi dengan figura hebat itu.

“Masa datang ke Malaysia belasan tahun lalu, kami (Kerispatih) hanyalah band baharu yang tak ‘ngerti’ apa itu Kuala Lumpur dan kami harus terbang ke bandar tersebut.

“Waktu itu, kami terima penghargaan Anugerah Era. Ada karpet merah di mana-mana. Semua orang pakai tuxedo dan busana cantik-cantik, saya pakai seluar jeans koyak.

“Datang seorang lelaki gagah memperkenalkan diri kepada saya di belakang pentas acara berlangsung dan orang itu adalah Anuar Zain.

“Seorang artis Malaysia yang sangat luar biasa memberikan albumnya kepada kami ketika itu, buat kami tersentak. Kami bukan siapa-siapa waktu itu,” cerita Sammy.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 54, turut hadir menyaksikan konsert dan memberikan tepukan sambil berdiri (standing ovation) terutama ketika Kerispatih dan Sammy memberi hormat menyanyikan lagu Lelaki Ini dengan rendisi tersendiri.

Kerispatih dan Sammy turut mendendangkan lagu deepcut (kurang lazim di telinga peminat) seperti Akhir Penantian, Kejujuran Hati dan Tertatih.

Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir dianjurkan oleh 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI