fbpx

Laungan memori zaman remaja bersama Westlife

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASING-masing sudah berusia, namun pesona Westlife masih memukau penonton sama seperti zaman era kegemilangan mereka lebih dua dekad lalu. Foto - IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Kumpulan popular dari Ireland, Westlife meninggalkan kesan memori yang sukar dilupakan seramai 16,000 peminat sewaktu hadir membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu sempena dua hari penganjuran Westlife The Wild Dreams Concert in Malaysia.

Cukup menggamit kenangan! Itu yang dapat dirasakan sepanjang hampir dua jam durasi konsert berlangsung dengan dendangan lagu hit kumpulan itu antaranya Uptown Girl, When You’re Looking Like That, Fool Again dan If I Let You Go.

Berpeluang menghadiri konsert untuk hari pertama yang dihadiri seramai 8,000 peminat, Westlife menyajikan persembahan memukau dan bertenaga menerusi seleksi lagu rancak mereka.

Teruja dapat kembali ke Malaysia selepas empat tahun, Shane Filan mewakili Westlife terharu melihat kedatangan peminat memenuhi seisi stadium bagi menyaksikan persembahan mereka pada hari pertama (Khamis).

“Kami tak sangka dapat kembali ke Malaysia selepas empat tahun. Terima kasih kerana setia menanti kehadiran kami kembali ke sini,” ucapnya disambut gema sorakan peminat.

Meneruskan kehangatan persembahan, Westlife menyampaikan lagu-lagu lain seperti My Love, Swear It Again, What About Now, I Lay May Love On You dan Seasons In The Sun.

Sesekali mengajak peminat bergurau dan menggeletek hati dengan aksi melayangkan ‘mini love’, Westlife ramah menyantuni penggemar mereka dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir sepanjang konsert berlangsung.

Tak terasa masa begitu pantas berlalu, malam konsert menghampiri penghujung dengan barisan lagu terakhir iaitu World of Our Own, Flying Without Wings, Hello My Love dan semestinya, You Raise Me Up.

Pulang dengan hati penuh berbunga, Westlife membangkitkan kembali memori zaman muda remaja majoriti peminat mereka yang kini rata-ratanya berusia 30-an dan ke atas.

Apa yang pasti, meskipun sudah dimamah usia apabila masing-masing sudah berumur 40-an, namun aksi dan tenaga dipamerkan Westlife pada konsert tempoh hari masih ampuh. Umur cuma sekadar angka, persembahan kumpulan yang ditubuhkan pada 1998 itu memang ‘top notch’! – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI