PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan sekitar Sarawak pada pagi ini.
Amaran dikeluarkan susulan ramalan hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berterusan pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Sibu, Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah) dan Bintulu.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Sementara pada itu, keadaan cuaca di Semenanjung diramal dalam keadaan baik dan cerah apabila tiada sebarang laporan cuaca buruk dikeluarkan setakat ini. – KOSMO! ONLINE