KUALA LUMPUR – Majikan di negara ini perlu menawarkan gaji lebih tinggi setimpal dengan kemahiran serta pendidikan graduan berkemahiran tinggi bagi mengelakkan bakat tempatan berkhidmat di luar negara.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, gaji minimum ditetapkan kerajaan iaitu dengan kadar RM1,500 adalah bukan muktamad, namun ia boleh ditentukan melalui pasaran semasa serta kehendak sesebuah industri itu sendiri.
“Memang untuk pekerja atau orang yang mencari pekerja dalam bidang teknologi tinggi ini, mereka mengharapkan untuk mendapatkan gaji lebih tinggi. Jadi memang pada ketika ini gaji untuk pekerja ini ditetapkan oleh pasaran itu sendiri.
“Saya yakin gaji ditetapkan oleh pasaran ini akan sedikit demi sedikit akan meningkat, kalau kita tidak menaikkan gaji kepada pekerja-pekerja, maka kita akan kehilangan pekerja mahir kita yang mungkin akan tinggalkan negara kita.
“Mungkin juga mereka pergi ke negara lain mencari pendapatan lebih tinggi setimpal dengan kemahiran dan pendidikan mereka. Ini secara langsung akan memberi tekanan untuk menaikkan gaji pekerja itu pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Sivakumar berkata, kerajaan melalui TalentCorp Malaysia juga ketika ini sedang berusaha menarik semula bakat tempatan untuk berkhidmat semula di negara ini.
“TalentCorp sedang berusaha membawa pulang pekerja atau pakar yang bekerja di negara lain. Jumlahnya agak besar.
“Kami juga sedang mencari kaedah atau mekanisme yang terbaik untuk memastikan bukan sahaja kita membawa mereka yang keluar masuk semula ke negara kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE