KLANG – Seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sampan dinaikinya apabila dilanggar pukat tunda ditemui lemas sekitar perairan Kapar di sini, petang tadi.
Mayat Raiman Suyud, 54, ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 2.30 petang.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pihaknya menerusi bot Perkasa 36 dan agensi lain bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat tersebut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jeti Pangkalan Nelayan Sementa bagi proses pengecaman ahli keluarga.
“Hasil pengecaman mengesahkan mangsa adalah Raiman yang dilaporkan terjatuh laut sebelum ini.
“Mayat itu kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kosmo! semalam melaporkan Raiman dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam laut apabila bot dinaikinya pecah selepas dilanggar pukat tunda bot yang tidak memasang lampu navigasi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi ketika memancing bersama rakannya di perairan Sementa, Kapar. – KOSMO! ONLINE