BUKIT GANTANG – Empat warga emas maut setelah kereta dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah treler di Jalan Sungai Baru, Trong dekat sini petang tadi.
Mangsa yang maut dikenali Ng Swee Ho, 67; Ng Ah Mooi, 63; Chew Yang Kim, 77, dan Kor Siok Har, 64.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong, Mohd. Shahidan Hassan berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 5.31 petang.
Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dinaiki kesemua mangsa dan treler muatan batu arang.
“Kemalangan itu mengakibatkan empat mangsa menaiki kereta tersepit di dalam kenderaan.
“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, anggota menjalankan operasi menggunakan peralatan menyelamat untuk membawa keluar kesemua mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 7.23 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE