fbpx

Sial ‘jantung’ Fabula Mahalini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETAKAT ini, lagu Sial yang dipetik daripada album Fabula milik Mahalini merupakan karya bertema galau paling ‘jujur’ dari Indonesia.

SIAL. Begitulah judul single perdana daripada album penyanyi seberang, Mahalini berjudul Fabula yang barangkali kedengaran kasar, namun ternyata mempunyai kesan tersendiri terhadap pendengar.

Lagu ciptaan Andmesh Kamaleng, Mahalini dan Mohammed Kamga tersebut bukan sengaja atau sekadar menyumpah tetapi bergerak sebagai sebuah karya yang mahu ‘didengari’.

Didengari di sini bermaksud, kalian dengar sebuah lagu dan dengan pantas, lagu yang dipinjamkan deria emosi tadi membawa deras maksud hati yang barangkali tak terucap di bibir sendiri.

Galau, gubahan bagus

Lalu, lagu yang barangkali bermain di radio atau platform muzik tersebut seperti faham apa yang sedang terbuku dalam hati. Lagu tersebut seakan-akan ucapan rasa buat mantan atau barangkali mereka yang telah merobek hati kita yang tidak berdosa.

Dari segi gubahan atau komposisi, Sial terkandung susunan yang layak disebut sebagai sebuah balada meruntun jiwa.

Ada bahagian lagu tersebut mengingatkan penulis terhadap karya-karya berentak perlahan yang pernah didendangkan diva Indonesia, Agnez Mo suatu ketika dahulu.

Dari segi lantunan vokal, Mahalini seorang penyanyi atau vokalis wanita yang sangat bagus. Permainan emosi dan listrik vokalnya cocok dilaungkan bersama setiap bait lirik dalam lagu tersebut.

Mahalini merupakan bekas peserta program realiti, Indonesian Idol musim ke-10.

Sembilan trek lain

Itu sedikit sebanyak tentang single perdana daripada album Fabula. Dalam diskografi terbaharu Mahalini turut dimuatkan sembilan lagu lain yang cukup besar pengertiannya.
Kebanyakan material yang terkandung terdiri daripada lagu bernuansa galau atau patah hati. Cocok didengari mereka yang barangkali usaha cinta tidak kesampaian ke fasa bahagia.

Selain Sial, antara trek kegemaran penulis termasuklah, Sisa Rasa dan Bohongi Hati. Jika anda sedang keseorangan di kamar dan melekatkan penyuara telinga, mudah sahaja lagu-lagu tersebut meninggalkan rasa syahdu yang susah pamit.

Pada hemat picisan penulis, Fabula antara album studio terbaik Indonesia setakat tahun ini.

Mahal rasa

Biarpun tidak lazim dengan karya-karya galau datang daripada susuk bernama Mahalini, namun disebabkan lagu berjudul Sial yang agak sensasi, bakat seni pemilik nama lengkap, Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja itu terasa mahu diterokai.

Ternyata, produk atau bakat kelahiran program realiti Indonesian Idol memang jarang menghampakan.
Itu adalah lubuk bakat-bakat seni yang tidak didendang ‘penuh’ dalam pertandingan, namun memercik bekas tersendiri dalam industri.

Fabula sebuah album yang nafas jujurnya sangat mahal. Hal ini semestinya kerana Mahalini bukan hanya menyanyi, dia juga terlibat sebagai komposer dalam kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album tersebut. Selamat buat Mahalini!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI