SEJAK treler filem seram tanah air, Pulau ditayangkan dalam YouTube, awal Januari lalu, serangan demi serangan diterima daripada pelbagai pihak yang membantah penayangan filem tersebut di Malaysia.
Banyak pihak berpendapat, naskhah arahan Euho itu tidak sensitif apabila memaparkan adegan yang boleh disifatkan sebagai ‘soft porn’, dengn aksi berbikini dan lelaki tidak berbaju.
Selepas kecaman demi kecaman, ujian terbaharu Pulau apabila kerajaan negeri Terengganu bawah Dewan Pemuda Pas telah membuat keputusan untuk mengharamkan tayangan filem Pulau yang sepatutnya bermula pada 9 Mac depan.
Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, keputusan tidak membenarkan penayangan Pulau di semua pawagam di negeri berkenaan adalah tepat berdasarkan garis panduan pelaksanaan aktiviti seni dan hiburan ditetapkan sebelum ini.
Biarpun pengharaman tayangan filem Pulau tidak dibuat secara menyeluruh di seluruh negara, namun perkara tersebut jelas menunjukkan karya tempatan juga tidak terlepas daripada kontroversi sehingga mencalarkan imej industri perfileman tanah air.
Pulau sebenarnya senaskhah daripada judul tempatan yang terkait dengan kontroversi sehingga diharamkan tayangannya. Filem luar negara juga tidak terkecuali menerima nasib yang lebih teruk.
Gala minggu ini mengupas lima buah filem kontroversi yang diharamkan penayangannya bukan sahaja di Malaysia, bahkan di beberapa buah negara di seluruh dunia.
Banglasia
Filem arahan Namewee yang sepatutnya memasuki pawagam tempatan pada 30 Januari 2014 telah diharamkan tayangannya di Malaysia oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN). Filem yang menampilkan lakonan Saiful Apek, David Arumugam, Atikah Suhaime dan Raja Ilya itu telah diharamkan tayangan kerana membabitkan elemen politik dan menyentuh sensitiviti masyarakat di Malaysia. Bagaimanapun pada Februari 2019, LPF menarik balik pengharaman dan meluluskan filem untuk tayangan awam. Dengan tujuh babak dipotong dan kemas kini, Banglasia ditayangkan di seluruh Malaysia pada 28 Februari 2019 dengan tajuk Banglasia 2.0.
Cannibal Holocaust
Filem terbitan pada tahun 1980 tersebut telah diharamkan tayangannya di 50 buah negara di seluruh dunia kerana menampilkan aksi keganasan dan seram yang keterlaluan. Filem arahan Ruggero Deodato itu mengisahkan seorang profesor yang berusaha untuk menyelamatkan sekumpulan kru filem yang terperangkap di kawasan terpencil dan ditawan oleh suku pemakan manusia (kanibal). Dikhabarkan bahawa, Deodato sempat ditahan polis atas tuduhan pembunuhan.
Fifty Shades of Grey
Bagi sebahagian penonton, filem Fifty Shades of Grey mungkin menjadi sebuah filem genre romantik yang wajib ditonton. Bagaimanapun, filem arahan Sam Taylor Johnson lakonan Dakota Johnson dan Jamie Dornan itu telah diharamkan bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di Kemboja dan Indonesia. Filem yang dikeluarkan pada tahun 2015 itu diharamkan kerana memaparkan aksi berhubungan seksual yang keterlaluan.
I Spit On Your Grave
Filem I Spit On Your Grave mengisahkan pembalasan dendam seorang wanita terhadap sekumpulan lelaki yang merogolnya. Bukan sahaja diharamkan di Malaysia, filem itu turut diharamkan di Singapura, Thailand, China dan New Zealand. I Spit on Your Grave yang ditayangkan pada 2010 merupakan antara filem paling sadis dan mengerikan. Merupakan ‘remake’ daripada filem bertajuk The Day of the Woman (1978) filem berkenaan menggunakan elemen rogol sebagai tema mengganggu emosi penonton.
Noah
Filem kontroversi Noah melalui episod pengharam di Malaysia kerana memaparkan jalan cerita berdasarkan kisah hidup Nabi Nuh A.S. Bukan sahaja di Malaysia, filem arahan Darren Aronofsky itu turut diharamkan tayangannya di negara lain, seperti Qatar, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Naskhah yang menelan belanja sebanyak RM246.7 juta itu ditentang hebat negara-negara Islam kerana memaparkan ilustrasi dan wajah Nabi Nuh yang sememangnya bertentangan dengan garis panduan Lembaga Penapisan Filem Negara.