MANAMA, Bahrain – Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner percaya pelumba utama pasukan, Max Verstappen bersedia untuk memburu gelaran dunia ‘hatrik’ pada saingan Formula Satu (F1) musim ini selepas cemerlang pada aksi pramusim di Bahrain kelmarin.
Sebagai rekod, Verstappen mempamerkan pemanduan dalam kelas tersendiri apabila mencetak masa terpantas pada sesi ujian pertama di Litar Antarabangsa Bahrain dengan menewaskan pelumba veteran, Fernando Alonso yang mewakili Aston Martin.
Menurut Horner, pelumba kelahiran Belanda itu dilihat cukup tenang meskipun berjaya merekodkan gelaran juara dunia sejak dua edisi lepas dan kini sudah tentu sedikit tertekan dalam usaha mengekalkan kejuaraan musim ini.
“Anda boleh lihat bagaimana Verstappen begitu tenang di atas litar, tetapi dalam masa yang sama sangat bermotivasi untuk memburu kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut.
“Semangat yang ada padanya begitu berkobar dalam usaha memberi saingan kompetitif pada kempen musim ini dan saya percaya dia akan terus cemerlang pada aksi Grand Prix (GP) Bahrain pada minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Verstappen yang baru berusia 26 tahun mengakui sangat gembira apabila dapat melakukan 150 pusingan pada sesi ujian pramusim terakhir sekali gus membantu menguji jentera baharu Red Bull dengan lebih baik.
“Ini adalah permulaan yang baik buat saya di sini dengan jentera begitu konsisten sehingga berjaya merekodkan masa terpantas. Cuma, saya tidak boleh terlalu berpuas hati kerana masih ada ruang yang perlu diperbaiki,” katanya. – AGENSI