Masked Rider tumpang tuah Rashford
KEPUTUSAN mengekalkan penyerang Manchester United, Marcus Rashford membuahkan hasil berbaloi buat pasukan Masked Rider apabila muncul antara pemenang minggu ke-24 Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) 2022/2023.
Pengurusnya, Asyraf Haziq Marof mengakui, enggan melakukan kesilapan lagi dengan memilih Mohamed Salah sebagai kapten pasukannya walaupun Liverpool sudah kembali menemui rentaknya semula.
“Dahulu memang saya harapkan Salah, tetapi sekarang merugikan. Salah nilainya mahal, tetapi tiada fungsi. Untung saya beli Rashford awal-awal dahulu ketika harga masih murah.
“Momentum Rashford sekarang sangat mengagumkan. Sejak letak kapten, memang dia penyumbang mata terbanyak dalam pasukan terutama untuk Minggu ke-24 lalu,” kata Asyraf.
Asyraf yang kini baru berhijrah tempat kerja di Johor Bahru, tidak menjangka dia muncul antara lima pemenang mingguan disebabkan kebanyakan pemain ‘tidak menjadi’ untuk aksi minggu lalu.
“Ini kali pertama saya menang dengan Kosmo!. Awalnya tak terfikir pun sebab dapat rasakan semua yang sertai FPL Kosmo! adalah hebat. Rezeki dan tuah saya minggu ini,” jelasnya.
Nescafe FC buru kemenangan hatrik
KEJAYAAN kali kedua menjadi pemenang mingguan saingan Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) 2022/2023 membakar semangat pengurus pasukan Nescafe FC, Logesan Ramachandran.
Menurutnya, sasaran terbaharu pasukannya adalah mencari ‘gelaran’ hatrik FPL Kosmo! sebelum kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menutup tirainya pada 28 Mei depan.
“Pasukan saya sekali lagi ‘meletup’ walaupun Erling Haaland (penyerang Manchester City) tidak menjadi. Kalau dulu Haaland tak jadi, tetapi saya ada Harry Kane (penyerang Tottenham Hotspur).
“Sekarang bila Haaland tak jadi, saya ada Marcus Rashford pula. Kali ini saya senaraikan trio Manchester United iaitu Rashford, Bruno (Fernandes) dan Luke Shaw.
“Memang minggu ke-24 ini kebanyakan pasukan yang bergelut untuk dapatkan mata tinggi kalau letak Haaland. Saya memang tidak akan letak Haaland kapten, sebab itu mata saya tinggi,” katanya.
Biarpun saingan FPL Kosmo! boleh dikatakan masih panjang tetapi pengurus dari Klang, Selangor itu amat berpuas hati dengan penganjuran dan prestasi pasukannya setakat ini.
Dua bintang United bantu Mikyala FC
KEPUTUSAN untuk mempertaruhkan dua bintang Manchester United, Marcus Rashford dan Bruno Fernandes di barisan tengah jadi percaturan berbaloi buat pengurus Mikyala FC, Muzani Nordin yang muncul salah seorang pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-24.
Walaupun tidak meletakkan harapan besar untuk penyertaan kali ini, Muzani sentiasa akan cuba tampilkan kelainan kerana enggan terlalu sama dengan pemain lain sekaligus buka peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan lebih atas.
“Kebiasaannya saya akan lihat jadual dan cuba nilai setiap perlawanan dan kenal pasti pemain dari pasukan mana yang ada potensi dapat dapat mata. Selain itu, saya juga akan rujuk di media sosial di Facebook, Twitter ataupun kumpulan WhatsApp.
“Tahun lepas pun saya sudah sertai Liga Fantasi Kosmo! dan kalau ikutkan saya hanya main suka-suka. Pada minggu ini, saya cuba buat kelainan dengan pilih Rashford kerana dia sedang berada pada prestasi terbaik.
“Bruno juga antara pemain yang sumbangkan mata terbanyak. Mungkin rezeki saya dan hadiah ini bolehlah saya belanja keluarga,” katanya.
Rashford beri ‘bonus’ kepada Amir
SEKALIPUN objektif utama adalah untuk mengejar hadiah keseluruhan, bintang Manchester United, Marcus Rashford beri ‘bonus’ buat Amir Zakwan apabila pasukannya, Garu Garu Futbol muncul sebagai pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-24.
Untuk itu, Amir bercadang untuk membawa keluarganya bercuti sejurus pulang daripada tugasannya dalam bidang petroleum dan gas.
“Sudah pasti saya membuat pilihan Rashford sebagai kapten kerana United bermain di gelanggang mereka sendiri apatah lagi Leicester City sering bolos ketika di tempat lawan.
“Rashford juga sedang berada pada prestasi terbaik dan mungkin ini kelebihan buat saya kerana saya jangkakan ramai yang akan pilih Erling Haaland sebagai kapten.
“Ini adalah penyertaan kali pertama dan cuba kejar kedudukan keseluruhan. Alhamdullilah apabila dapat juga menang mingguan dan sekurang-kurangnya bolehlah saya belanja keluarga bercuti selepas pulang dari tugasan,” jelasnya.
Perancangan tiga minggu berbuah hasil
PERCATURAN tiga minggu awal membuahkan hasil buat Syafiq Zamri yang menggunakan pasukan No Kane No Gain untuk menang buat kali kedua saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-24 (GW24) kali ini.
Syafiq yang menggunakan nama Tuan Manager percaya perancangan rapi yang dibuat dapat memastikan semua pemain dalam kesebelasan utama mampu menyumbangkan mata lebih tinggi berbanding pasukan lain.
“Saya sangat gembira apabila dapat menjadi salah seorang daripada lima pasukan teratas pada GW24 kali ini. Seperti dijangka, ini adalah minggu yang sukar dengan rata-rata pesaing gagal mengutip mata seperti yang diharapkan.
“Secara peribadi, ini adalah kali ketiga saya menang aksi mingguan Liga Fantasi Kosmo! dengan No Kane No Gain berjaya menang dua kali selain saya turut membentuk satu lagi pasukan (The Lord of the Ings) yang berjaya menang pada beberapa minggu lepas.
“Pasukan No Kane No Gain memang dibuat khas untuk beraksi secara mingguan dan The Lord of the Ings saya pula mensasarkan carta teratas liga.
“Mengenai rahsia minggu ini, mungkin keputusan untuk menyenaraikan pemain daripada pasukan Everton selain kekalkan Rashford sebagai kapten antara faktor utama kemenangan saya,” katanya.