fbpx

Si pengecop parkir elok kena penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK dahulu lagi budaya ‘cop’ parkir kerap berlaku terutama melibatkan kawasan perumahan bertingkat dan lot-lot kedai.

Tidak sampai di situ, kawasan pusat beli-belah juga menerima tempias apabila ada segelintir individu sanggup berdiri ‘tegak dan ‘tunggu’’ dengan muka selamba semata-mata untuk mendapatkan parkir mudah.

Sudah tentunya, situasi itu boleh mendatangkan kemarahan kepada sesiapa sahaja. Boleh dibayangkan situasi seperti inilah yang menyebabkan rasa tidak puas hati, seterusnya berlaku pergaduhan.

Jika di pusat beli-belah wujudnya individu berdiri ‘tegak’ dan ‘tunggu’, di kawasan perumahan bertingkat atau lot kedai pula lain halnya apabila kon, tayar atau pasu bunga diletakkan di kawasan parkir.

Ia kononnya sebagai tanda tempat letak kenderaan tersebut sudah ‘dimiliki’ atau pendek kata telah ‘dibeli’.

Sudah tentu ia banyak berlaku di kediaman flat atau kondominium yang mana peng­huni mempu­nyai lebih daripada sebuah kereta.

Apa yang tidak sedap, sekira­nya dialihkan barang-barang atau membunyikan hon terhadap individu yang cop parkir, dituduh­nya pula dengki, sedang­kan parkir awam adalah untuk orang awam.

Berdasarkan akta yang ada, tindakan mengecop parkir adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana petak parkir adalah hak milik awam.

Hukuman bagi seksyen itu pula memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah berkata, seseorang itu tidak berhak menuntut sesuatu yang bukan miliknya selain menyifatkan perbuatan tersebut seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

“Sikap seperti ini menyusahkan orang awam untuk menggunakan kemudahan yang telah disediakan.

“Memandangkan kita mempunyai peruntukan khusus ber­kenaan kesalahan ini, adalah wajar sekiranya individu-individu yang mengecop tempat parkir dikenakan tindakan sewajarnya bagi tujuan pengajaran,” kata­nya.

Ujar Muhammad Amin, de­ngan satu tindakan wajar dan tegas, sekurang-kurangnya ia akan mampu membawa mesej kepada masyarakat untuk tidak menjadikan budaya mengecop tempat parkir ini sebagai amalan yang kemudiannya menjadi ikutan yang negatif.

Sementara itu, menjengah di ruangan media sosial, rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan mengecop parkir.

“Buang sahaja tong… atau sepak tong ketepi,” luah seorang penduduk.

“Yang berotak tidak semestinya berakal, yang berakal pula tidak semestinya cerdik,” kata seorang netizen.

Secara kesimpulannya, penulis berpendapat untuk situasi ‘menang-menang’, kita semua sebenarnya perlu bertolak ansur. Selain itu, bak kata orang, siapa cepat, dia dapat parkir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI