fbpx

PKPB: Tiada pembelian panik berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pegawai KPDNHEP memeriksa harga barang di sebuah pasar raya di kawasan yang dikenakan PKPB.

Oleh SUBKHI SUDARJI

PUTRAJAYA – Aktiviti perniagaan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, bekalan 12 barang keperluan asas di peringkat runcit dan borong juga masih berada pada tahap stabil.

Katanya, 12 barang tersebut adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

“KPDNHEP mengingatkan agar pengguna tidak perlu risau terhadap bekalan barang keperluan di sepanjang pelaksanaan PKPB ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iskandar Halim berkata, laporan itu hasil pemantauan terhadap 510 peruncit daerah terpilih di keempat-empat negeri berkenaan dengan 170 daripadanya di Sabah, Selangor (280), Kuala Lumpur (55) dan Putrajaya (lima).

Selain itu, kedudukan bekalan juga dipantau secara mingguan di peringkat pemborong membabitkan 214 premis.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan kedudukan bekalan sentiasa berada di pasaran dengan harga yang munasabah untuk memenuhi keperluan pengguna,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI