PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dijangka berlaku di beberapa perairan negara hingga 1 Mac (Rabu) depan.
MetMalaysia melalui kenyataan dilaman sesawangnya memaklumkan, angin kencang timur berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu juga turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut kategori ketiga bagi aktiviti perkapalan iaitu angin berkelajuan 60 kmsj dengan ombak ombak melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North bagi tempoh sama.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.
Manakala, amaran kategori kedua pula dengan angin kencang berkelajuan 50 sehingga 60 Kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 m dijangka berlaku di perairan Condore, timur laut dan barat daya Reef North.
“Ia berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” ujarnya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama kelajuan angin 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, tenggara Reef North, utara Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan.
Tambahnya, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – KOSMO! ONLINE