GUA MUSANG – Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di perumahan kuarters Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Jalan Sungai Terah di sini hangus dalam kejadian kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, dua buah rumah kayu musnah 100 peratus dalam masa hanya kira-kira 10 minit.
Mangsa kebakaran, Nurul Zazida Hasmira Rodzi, 30, berkata, dia berada di rumah ibunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang semasa kejadian.
Katanya, dia terperanjat apabila jiran menghubunginya dan memaklumkan rumah sewa di kuarters tersebut terbakar.
“Luluh hati apabila sampai di lokasi kejadian selepas melihat seluruh bahagian rumah hangus dijilat api dan tiada barangan yang sempat diselamatkan.
“Segala kelengkapan bayi yang dibeli beberapa hari lalu untuk persediaan bersalin tiga bulan lagi juga hangus terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Nurul Zazida Hasmira yang kini hamil enam bulan berkata, dia berbelanja hampir RM1,000 untuk membuat persediaan menyambut anak keduanya itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan operasi memadam kebakaran bermula pukul 6.27 petang
“Api berjaya dikawal sembilan minit kemudian. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.