SIAPA sangka kemenangan sulung dalam saingan Liga Fantasi Kosmo! musim ini membawa tuah buat Nizam Ibrahim apabila dua pasukannya, Red Card Academy dan FPL Hero tersenarai dalam lima pemenang mingguan bagi aksi minggu ke-23.
Lebih manis, kemenangan itu memastikan pengurus kelahiran Melaka tersebut mengulangi pencapaian dilakukan isterinya, Nisha Shariffuddin yang turut muncul sebagai pemenang pada saingan minggu pertama.
Kemenangan tersebut menyaksikan Nizam mendapat ‘durian runtuh’ apabila bakal menerima hadiah wang tunai RM400, masing-masing RM200 menerusi pasukan Red Card Academy dan FPL Hero.
Percaturan bijak yang dilakukan dengan mempertaruhkan cip triple captain ke atas penyerang Manchester City, Erling Haaland untuk kedua-dua pasukan turut membuahkan hasil apabila pemain itu meledak satu gol dan melakukan satu umpanan.
“Alhamdulillah, dua pasukan saya iaitu Red Card Academy dan FPL Hero antara pasukan yang mendapat mata tertinggi pada aksi minggu ke-23. Pemilihan Haaland sebagai triple captain selain barisan pemain lain beraksi baik sangat berbaloi.
“Saya dan isteri yang juga pemenang untuk minggu pertama kerap melakukan perbincangan dan analisis. InsyaAllah jika prestasi ini dapat dikekalkan, kami mampu untuk mencabar kejuaraan,” katanya.
Nizam melaungkan keyakinan itu memandangkan pencapaian pasukan bimbingannya sedikit merudum meskipun masih berada dalam kelompok 50 terbaik pada awal saingan musim ini.
“Pada awal musim, pasukan saya adalah antara 50 terbaik Liga Fantasi Kosmo!, namun disebabkan salah percaturan dan kurang melakukan analisis selain silap memilih kapten, kami tidak dapat kekalkan kedudukan tersebut,” ujarnya.
Lubok FC raih tuah lengkapkan pendaftaran
KEGAGALAN beberapa pengurus pasukan untuk melakukan pendaftaran lengkap memberi tuah buat Hafiz Hanafiah atau Wan Ozil selepas pasukannya, Lubok FC mendapat kedudukan lima terbaik pada saingan Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-23 (GW23).
Wan Ozil mengakui kelainan yang cuba ditampilkan pada saingan GW23 membuahkan hasil selepas kapten pasukan, Bukayo Saka menyumbangkan mata yang agak tinggi kali ini.
“Secara jujur, saya tidak sangka dapat mengutip mata tertinggi pada kempen minggu ini kerana saya melihat sendiri carta dan ada beberapa pasukan yang mendapat mata lebih tinggi.
“Namun, saya difahamkan mereka tidak melengkapkan pendaftaran dan slot tersebut diberikan kepada saya dan inilah yang dikatakan sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Saya memang minat dengan pasukan Arsenal dan kekal memilih pemain kelab ini meskipun keputusan yang diraih sebelum ini tidak konsisten.
“Cuma, saya membuat kelainan dengan menggunakan beberapa pemain yang sudah tidak diambil pengurus lain seperti Kevin De Bruyne yang menyumbangkan mata agak tinggi pada kali ini,” katanya.
Pemilihan pemain julang kejayaan Amani FC2
PENGURUS Amani FC2, Mohd. Adnan Abdul Rahman tidak menjangka pasukannya menjadi antara pemenang mata mingguan tertinggi bagi saingan minggu ke-23 (GW23) Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 (FPL Kosmo!).
Adnan menyifatkan faktor kejayaannya adalah meletakkan bintang Arsenal, Bukayo Saka sebagai kapten selain kebanyakan pemain dalam pasukannya berjaya meraih mata yang tinggi untuk GW23.
“Saya peminat Liverpool, tetapi saya dah tak ambil pemain dari pasukan ini. Saya dah terkena banyak kali pada awal musim, jadi sekarang saya tak boleh amalkan konsep favouritism.
“Saya perlu gunakan siapa yang benar-benar konsisten dan cari perbezaan untuk pasukan kerana boleh dikatakan hampir semua peserta menggunakan pemain sama,” kata pengurus dari Pulau Pinang itu.
Bagi Adnan, dia sangat gembira dengan kejayaan itu kerana ia adalah kemenangan kedua buat Amani FC2 dalam saingan FPL Kosmo! musim ini dan tidak menolak kemungkinan mampu melakar pencapaian hatrik selepas ini.
Pemain Arsenal, City buat Ole Sarolskjaer tersenyum
TERPENGARUH dengan kejayaan sahabat yang menjadi salah seorang pengurus terbaik Liga Fantasi Kosmo! musim 2021/2022 menjadi punca Ole Sarolskjaer menghantar pasukannya, Spartak Enstek untuk kempen kali ini.
Ole atau nama sebenarnya Shahrul Adly Abdullah mengakui sangat gembira apabila dapat ‘tersangkut’ dalam carta lima pengurus terbaik bagi minggu ke-23 (GW23) dengan percaturan yang dilakukan sangat menjadi.
“Sudah pasti perancangan saya untuk minggu GW23 adalah menggunakan tiga pemain Manchester City dan tiga pemain Arsenal dan ia memberi pulangan yang cukup berbaloi.
“Kini, sasaran saya adalah untuk bergelar juara keseluruhan dan saya percaya kedudukan saya di tangga kelapan buat masa ini cukup kompetitif sekali gus dapat memberi saingan sehingga penghujung musim nanti.
“Apa yang pasti, saya juga mahu berterima kasih kepada kawan saya, Muhammad Sidqi Kamil yang ‘racun’ saya untuk sertai Liga Fantasi Kosmo! musim ini. Terima kasih juga kepada Kosmo! Yang menganjurkan liga yang cukup sengit,” katanya. – KOSMO! ONLINE