fbpx

Basuh krim muka, pelembap ketika mengambil wuduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebaiknya basuh dan tanggalkan krim atau pelembap wajah terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk. – GAMBAR HIASAN

Adakah sah wuduk sekiranya seseorang tidak menanggalkan krim/pelembap muka terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk, sebaliknya terus mengambil wuduk dan menanggalkan krim/pelembap sewaktu sedang berwuduk?

Jawapan: Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa kewujudan sesuatu benda pada anggota wuduk atau anggota mandi wajib yang menghalang sampainya air kepada kulit, menghalang sahnya wuduk dan mandi wajib tersebut.

Oleh sebab itu, antara syarat wuduk ialah menghilangkan perkara yang menghalang air mengenai kulit, sama ada minyak tepu, lilin dan seumpamanya. Syarat ini disepakati oleh empat Mazhab yang muktabar.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’: “Jika di atas sebahagian anggota badannya terdapat lilin, tepung atau inai dan seumpamanya, yang mana ia menghalang air daripada sampai kepada anggota tersebut, maka tidak sah taharahnya, sama ada benda itu sedikit ataupun banyak. Namun, jika di atas tangannya atau pada anggota badan yang lain masih tersisa kesan inai dan warnanya tanpa zatnya, atau kesan minyak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota badan tersebut, dengan mengalir dan tidak melekat, maka sah taharahnya itu.”

Perkara ini dijelaskan dalam kitab Taqrirat al-Sadidah bahawa yang dimaksudkan dengan bebas daripada perkara yang menghalang sampainya air ke anggota wuduk ialah tidak terdapat jirim pada anggota wuduk yang menghalang sampainya air. Maksudnya, tidak terdapat sesuatu zat atau benda asing pada anggota wuduk yang kalis atau tidak telap air. Adapun kesan yang ditinggalkan daripada zat tersebut, seperti kesan minyak yang cair dan warna inai pada jari seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, maka ia tidak menghalang sampainya air. Begitu juga keadaannya dengan dakwat pen, kerana ia tidak menghalang sampainya air kepada kulit.

Setiap perbuatan rukun yang telah disebutkan, bilangan yang dituntut sekali sahaja, namun dengan syarat ia melakukan dengan sempurna, iaitu dapat meliputi seluruh bahagian anggota wuduk dengan sekali basuhan.

Sekiranya dengan satu basuhan tidak berjaya meliputi keseluruhan anggota yang wajib dikenakan air, maka wajib melakukannya untuk kali kedua hingga kesemua bahagian anggota diliputi air.

Namun, yang dituntut adalah melakukannya sebanyak tiga kali, iaitu perbuatan pertama sebagai perbuatan wajib dan perbuatan kedua hingga ketiga adalah perbuatan sunat.

Berkaitan soalan yang diajukan, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah adakah air sampai kepada keseluruhan anggota wuduk? Bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan, ia boleh dilakukan dengan apa sahaja cara sekalipun asalkan tujuan tercapai, iaitu menyampaikan air ke anggota wuduk. Justeru, jika menanggalkan krim atau pelembap muka terlebih dahulu, sehingga air dapat disampaikan kepada keseluruhan anggota wuduk, maka telah terlaksana kewajipan berwuduk.

Adapun jika membasuh tanpa menanggalkan krim atau pelembap muka terlebih dahulu, sekiranya basuhan pertama hanya menghilangkan krim atau pelembap muka tetapi tidak menyampaikan air kepada kulit, wajib membasuh lagi hingga air berjaya sampai ke kulit. Setelah air sampai ke kulit baru dianggap telah melakukan basuhan wajib (walaupun sebenarnya melakukan dua kali atau lebih perbuatan) dan wuduknya sah. Jika krim tetap ada dan menghalang air sampai ke kulit, maka tidak sah wuduk itu.

Oleh itu, kami mencadangkan agar dihilangkan terlebih dahulu krim atau pelembap muka kerana ia lebih berkemungkinan dan diyakini dapat memastikan kita melaksanakan wuduk dengan sempurna. Apatah lagi jelas dalam hadis-hadis berkenaan orang yang tidak menyempurnakan wuduk dengan ancamannya, maka sangat wajar untuk berhati-hati dan berusaha agar kita tidak tertinggal kawasan yang sepatutnya dikenakan atau disampaikan air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI