PARIS – Seorang pelajar lelaki membunuh guru wanita dengan menikam dadanya di sebuah sekolah di barat daya Perancis semalam, kata pihak berkuasa seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN.
Guru berusia 50 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan daripada tikaman suspek yang berusia 16 tahun, kata jurucakap kerajaan Perancis, Olivier Veran.
Penyerang adalah seorang remaja yang mengalami masalah psikologi yang mendakwa dirinya ‘dirasuk’ ketika menikam dada guru itu, demikian menurut saluran BFMTV.
Tambah laporan tersebut, berikutan serangan di bandar Saint-Jean-de-Luz itu, suspek melarikan diri ke bilik bersebelahan di mana dia memberitahu seorang guru bahawa terdapat ‘suara halus’ menyuruhnya melakukan serangan tersebut.
Guru tersebut kemudian mengambil senjata daripada pelajar terbabit dan dia berada bersama suspek sehingga polis tiba, kata BFMTV.
Pendakwa raya tempatan, Jerome Bourrier berkata, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada pelajar tersebut melakukan pembunuhan terancang.
Bourrier berkata, pelajar itu kini berada dalam tahanan polis. – Agnesi