PUTRAJAYA – Kesemua calon parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) kekal dengan lambang dacing untuk kempen di enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya pemberita turut mengesahkan bahawa BN juga dijangka tidak akan menggunakan lambang gabungan blok lain.
“Kita (BN) akan menjalinkan kerjasama dengan kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan namun calon BN tetap kekal dengan lambang BN untuk enam PRN tersebut,” kata beliau.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membuat lawatan rasmi ke ibu pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.
Semalam, enam ketua kerajaan negeri telah memutuskan bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing akhir Jun depan untuk PRN diadakan serentak.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, setakat ini parti itu juga belum lagi memuktamadkan soal pembahagian kerusinya dengan tiga komponen BN lain.
“Kita (BN) juga memang akan membincangkan lebih terperinci isu agihan kesemua kerusi ketika sesi mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE