fbpx

Lama hilang, Heedan Mohd. risau tak diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HEEDAN MOHD

KEBANJIRAN wajah baharu dalam industri muzik tanah air bukan perkara asing kerana ada banyak platform media sosial melahirkan bakat-bakat muda di luar sana.

Sama halnya yang berlaku terhadap bakat baharu bernama Heedan Mohd.apabila penyertaannya dalam industri berjalan mudah kerana memegang status sebagai pesohor media sosial.

Heedan yang kini berada di bawah label Awal Muzik Entertainment mempertaruhkan single perdana berjudul Yang Terakhir pada 2019 dengan mencatat sebanyak 482,000 jumlah tontonan dalam YouTube.

Setelah hampir lima tahun, Heedan kembali dengan karya terkini berjudul Amarahmu hasil ciptaan sendiri dan dibantu oleh Knight Cydeen yang juga merupakan pengarah Awal Muzik Entertainment.

Menurut pemilik nama lengkap Nik Shahidan Nik Mohamad itu, perasaan bimbang lebih mengatasi rasa teruja sewaktu melancarkan single tersebut.

“Sebenarnya saya takut untuk lancarkan lagu ini kerana sudah lama tidak mengeluarkan single baharu.

“Saya risau orang tidak minat tetapi rupa-rupanya ada yang menunggu saya melancarkan lagu ini. Sebab saya pernah menyanyi lagu ini dalam media sosial.

“Selepas dilancarkan, tak sangka ramai pula yang jatuh suka,” katanya.

Sebagai pendatang baharu dalam industri muzik, penyanyi asal Kelantan itu yakin dapat bertahan lama dalam bidang nyanyian memandangkan dia tidak merancang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Justeru, dia boleh memberi fokus sepenuhnya terhadap bidang nyanyian.

“Saya yakin dapat bertahan lama dalam industri dan menjadikan bidang ini sebagai periuk nasi.

“Muzik memang menjadi minat saya sejak dahulu, jadi saya akan melakukan sehabis baik untuk karier ini,” ujarnya.

Amarahmu menjadi salah sebuah lagu yang dimainkan dalam drama bersiri TV3 berjudul Bawah Blok, namun bagi Heedan, dia tidak kisah andai perlu melakukan gimik agar karya tersebut diterima dengan lebih meluas.

“Saya tahu zaman sekarang memang sangat popular dengan trend gimik tetapi saya belum pernah cuba melakukannya.

“Jika diberi peluang, saya berani untuk melakukannya. Tetapi saya percaya perkara tersebut tidak mampu melariskan karya saya sepenuhnya,” ujarnya yang pernah menjadi peserta program I Can See Your Voice musim keempat.

Gembira kerana berpeluang meneruskan karier nyanyiannya dengan peluncuran single baharu, Heedan, 23, sempat berkongsi kisah sedih yang pernah dilaluinya apabila tidak mendapat sambutan semasa mengadakan sebuah persembahan.

“Dalam sebuah acara, saya pernah menghulurkan mikrofon kepada penonton tetapi tidak disambut.

“Selepas kejadian itu saya hilang ‘mood’ untuk menyanyi walaupun mahu menghangatkan keadaan dengan lagu lain,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI