KUALA LUMPUR – Liputan rangkaian 5G di negara ini meliputi lebih 47.1 peratus melibatkan kawasan berpenduduk setakat 31 Disember lalu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, jumlah peratusan itu adalah termasuk tapak-tapak pemancar 5G yang diaktifkan Digital Naisonal Berhad (DNB) tetapi belum boleh diakses pengguna.
Jelas beliau, setakat 31 Disember 2022, sebanyak 3,906 tapak 5G telah siap dibangunkan DNB di seluruh negara.
“Jika dilihat pada tapak 5G yang boleh diakses pengguna, ketersediaan perkhidmatan 5G berada pada 38.2 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, berdasarkan laporan Ookla bagi Disember 2022, purata kelajuan muat turun 5G di Malaysia adalah 534.94Mbps, meletakkan Malaysia antara tiga negara tertinggi di dalam ASEAN bagi purata kelajuan muat turun perkhidmatan mudah alih.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hala tuju DNB, KKD masih dalam proses meneliti dasar semasa pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Kata beliau, beberapa sesi libat urus telah dilaksanakan bagi mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak industri dan agensi Kerajaan bagi memastikan aspek kewangan, teknikal dan perundangan dinilai secara komprehensif.
“Walau bagaimanapun, proses penelitian ini tidak akan mengganggu operasi dan perancangan semasa DNB di mana kerja-kerja DNB di lapangan masih diteruskan seperti perancangan asal,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.