fbpx

Keupayaan Tentera Laut China lebih besar – AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal selam nuklear Long March 15 milik Tentera Laut PLA mengambil bahagian dalam perarakan tentera laut berhampiran Qingdao, pada 23 April 2019. - AFP

WASHINGTON – Tentera Laut China mempunyai kelebihan yang ketara berbanding Amerika Syarikat (AS) ke­rana ia mempunyai armada dan kapasiti pembinaan kapal yang lebih besar, demikian menurut Setiausaha Tentera Laut AS, Carlos Del Toro seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN kelmarin.

Bercakap di National Press Club di Washington, Del Toro berkata, China secara konsisten cuba melanggar kedaulatan ma­ritim dan kesejahteraan ekonomi negara-negara lain termasuk sekutu AS di Laut China Selatan serta di tempat-tempat lain.

“China mempunyai aset ketenteraan laut yang lebih besar sekarang. Justeru, ia menggunakan armada itu secara global,” katanya sambil menambah bahawa Wa­shington perlu menaik taraf aset ketenteraan AS sebagai tindak balas terhadap keupayaan Beijing.

“Kami memerlukan tentera laut yang lebih besar, kami memerlukan lebih banyak kapal moden pada masa hadapan, khususnya yang boleh menghadapi ancaman itu,” katanya.

Tambah Del Toro, Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA) dijangka boleh memiliki sehingga 400 buah kapal perang pada tahun-tahun akan datang, meningkat daripada kira-kira 340 buat masa sekarang.

Dalam masa sama, bilangan kapal perang AS adalah kurang daripada 300 buah.

Menurut Pelan Navigasi Tentera Laut AS 2022 yang dikeluarkan pada musim panas lalu, matlamat Pentagon adalah untuk memiliki 350 buah kapal bersama dengan kelasinya menjelang 2045, namun jumlah tersebut masih kurang berbanding China.

Sebelum sasaran itu dapat dicapai, bilangan kapal dalam aset ketenteraan AS dijangka berkurangan kerana terdapat kapal lama dan perkhidmatannya telah tamat tempoh, demi­kian menurut laporan daripada Pejabat Bajet Kongres AS.

Del Toro berkata, limbungan Tentera Laut AS tidak dapat menandingi pengeluaran kapal-kapal perang China.

“China mempunyai 13 limbu­ngan kapal. Dalam beberapa kes, limbungannya mempunyai lebih banyak kapasiti (pembinaan kapal),” ujarnya.

Del Toro bagaimanapun tidak memberikan pecahan limbu­ngan itu tetapi laporan Beijing dan Barat menyatakan bahawa China mempunyai enam limbungan besar serta dua limbungan kecil yang membina kapal-kapal tentera laut.

Sementara itu, beliau berkata, China memerlukan tenaga kerja yang ramai dan ia mempunyai kelebihan kerana Beijing bebas daripada sekatan, peraturan dan tekanan ekonomi yang menjejaskan buruh berbanding AS.

“Satu masalah besar AS adalah mencari tenaga kerja mahir.

“Apabila anda mempu­nyai pengangguran kurang daripada empat peratus, ia menjadikannya satu cabaran sebenar sama ada anda (AS) mahu mencari pekerja untuk restoran atau cuba mencari pekerja untuk limbungan kapal,” kata Del Toro. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI