fbpx

Penempatan haram PATI di Cyberjaya kawasan belum warta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Hamid (tiga kanan) melihat kerja-kerja Operasi Pembersihan penempatan PATI di Cyberjaya hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengesahkan lokasi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina secara haram di sini merupakan kawasan belum diwartakan membabitkan keluasan 1.62 hektar.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain mengakui, pihaknya tidak dapat mengesan kawasan penempatan haram itu sebelum ini berikutan kedudukannya yang jauh dari jalan utama dan terlindung di sebalik bukit dan hutan belukar.

“Kalau ikut dari pelan perancangan kawasan ini akan dijadikan tanah lapang tetapi masih belum diwartakan. Dalam erti kata lain adalah tanah kerajaan.

“Justeru selepas penempatan ini diroboh dan dibersihkan, kita akan kawal kerana dikhuatiri jadi tempat jenayah atau aktiviti tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di Operasi Pembersihan Penempatan PATI di sini, hari ini.

Abd. Hamid berkata, kerja-kerja perobohan dan pembersihan dijangka mengambil masa seminggu. Operasi itu melibatkan 110 buah rumah di empat perkampungan kecil yang dihuni PATI sebelum ini.

“Kita juga menemui sebanyak 10 buah perigi yang dipercayai dibina sendiri penghuni di penempatan tersebut dengan salah sebuahnya berkedalaman hampir 6.09 meter.

“Kita akan minta nasihat daripada jabatan teknikal adakah kalau kita kambus ia akan mendatangkan masalah kemudian tapi buat sementara waktu kita akan tutup dahulu untuk mengelak sebarang kemalangan,” ujarnya.

Ujar beliau, pihaknya juga akan membuat inventori, jika ada pihak yang datang menuntut barangan mereka kemudian, namun sekiranya tiada barangan tersebut akan diderma atau lupuskan.

Pada 16 Februari lalu, Kosmo! Online melaporkan JIM menggempur satu penempatan haram PATI membabitkan empat buah perkampungan kecil yang berselindung di sebalik bukit dan hutan belukar di Cyberjaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI