PETALING JAYA – Hujan berterusan berpotensi melanda timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah bermula 26 Februari hingga awal Mac 2023.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan luruan monsun itu berdasarkan analisis model-model cuaca.
“Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, Sarawak serta Sabah pada sebelah petang dan malam untuk beberapa hari akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak sehingga pukul 6 petang ini.
Kawasan dijangka adalah Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau). – KOSMO! ONLINE