PETALING JAYA – Personaliti televisyen, Anim Ezati menganggap pelaburan kos sebanyak RM30,000 bagi menjalani pembedahan bariatrik tahun lalu sebagai keputusan tepat bagi menurunkan berat badannya.
Tidak malu mengakui hakikat, Anim atau nama lengkapnya Anim Ezati Rizki berkata, keputusan yang dibuat atas nasihat doktor itu berjaya mengatasi gejala obesiti yang dihidapinya.
“Ramai menyembunyikan daripada mengaku menjalankan bariatrik sebab perkara tersebut sangat sensitif.
“Namun, kalau ada orang faham yang sebenarnya pembedahan ini untuk kesihatan perkara tersebut akan jadi okey.
“Alhamdullilah selepas melakukan bariartrik, saya tidak lagi mengalami kolestrol tinggi, penyakit hati berlemak dan masalah gerd selesai,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sesi memperkenalkan pengacara dan segmen baharu program Helo Doktor di Sri Pentas, hari ini.
Sebagai personaliti televisyen, Anim mengakui hilang keyakinan apabila bersiaran dengan berat badan yang agak berisi sebelum memilih melakukan bariatrik.
“Saya turun berat badan sebanyak 35 kilogram (kg) daripada berat asal iaitu 89kg berat selepas bersalin.
“Masa itu saya tidak bersemangat dan biasalah kerja televisyen, kalau besar macam ini memang mengundang macam-macam.
“Itu antara motivasi sehingga saya harus menurunkan berat badan dan memilih untuk melakukan bariatrik,” jelasnya yang kini mempunyai berat 53kg.
Berkongsi lanjut, pengacara Malaysia Hari Ini itu terdetik untuk melakukan pembedahan tersebut selepas terlibat dalam Helo Doktor yang mengupas mengenai topik bariatrik.
“Kebetulan pada waktu itu rancangan Helo Doktor mengupas soal pembedahan bariatrik dan doktor mencadangkan saya untuk tampil ke hospital bagi melakukan pemeriksaan.
“Setelah melakukan endoskopi rupa-rupanya saya memang ada masalah hati berlemak dan gerd oleh kerana obesiti.
“Jadi doktor mencadangkan untuk meneruskan pembedahan tersebut untuk merawat dua penyakit yang saya hadapi,” ujar Anim yang menjalankan bariatrik pada Mei tahun lalu.
Kesanggupannya menghabiskan sekitar RM30,000 kurus juga sebenarnya boleh membuka mata ramai tentang kebaikan bariatrik.
“Sebenarnya ramai yang salah faham tentang bariartik yang ingat prosedur kosmetik. Ini bukan pembedahan potong usus tetapi potong perut.
“Perut kita berbentuk bulat dipotong sebanyak 80 peratus dan sambung ke usus. Jadi hanya 20 peratus ruang dalam perut untuk mengisi makanan.
“Sejujurnya, saya memang mahu mendidik orang yang selama ini menganggap sebagai pembedahan kecantikan padahal ia fokus merawat orang yang ada darah tinggi dan kencing manis,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE