SEBERANG PERAI – Seorang pemandu van persendirian ditahan selepas cuba merempuh anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang semasa menjalankan Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di Jalan Perusahaan Perai, di sini pagi tadi.
Pengarah JPJ Negeri, Adenan Md Isa berkata, penahanan ke atas lelaki tempatan berusia 40-an itu dilakukan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, pemandu terbabit tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan memandu kenderaan persendirian yang didaftarkan atas nama individu lain.
“Pemandu itu memberi alasan mahu ke tandas sedangkan hasil pemeriksaan mendapati dia dalam perjalanan menghantar lapan tukang cuci pulang menggunakan van persendirian.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 132 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa manakala 110 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, sebanyak 17 bas kilang turut disita meliputi pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen PSV, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans kenderaan motor.
“Lebih membimbangkan lagi, kita dapati kebanyakan pemandu dikesan melakukan kesalahan berulang namun majikan seolah-olah tidak ambil endah dan berterusan menggajikan pekerja yang sama.
“Kita akan kenakan tindakan lebih keras terhadap pemilik dan pengendali kenderaan bagi memberi pengajaran kepada syarikat lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE