fbpx

Laporan Audit : SPRM akan siasat jika ada isu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK Azman (dua kiri) menunjukkan buku LKAN Tahun 2021 Siri 2 pada sidang akhbar di Putrajaya, 16 Februari lalu - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan membuka kertas siasatan sekiranya terdapat keperluan selepas melakukan penelitian ke atas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang meneliti laporan tersebut yang ada mendedahkan tentang ketirisan dan pembaziran dana awam oleh agensi-agensi tertentu.

“Kita telah meneliti beberapa perkara yang terdapat dalam laporan tersebut dan saya beri jaminan sekiranya penelitian oleh bahagian siasatan SPRM mendapati ada isu, kita akan buka kertas siasatan.

“Laporan Ketua Audit Negara sememangnya menjadi perhatian kita (SPRM) dan walaupun laporan sebut tentang ketidakpatuhan namun kita melihat kepada isu jenayah. Jika betul berlaku dan di bawah bidang kuasa kami, siasatan akan dibuka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid pada 16 Februari lalu memaklumkan bahawa ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur serta pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM158.08 juta pada 2021.

Beberapa pakar ekonomi dan pakar integriti kemudiannya menggesa kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas di bawah SPRM bagi menangani isu ketirisan dan pembaziran dana awam yang hampir setiap tahun didedahkan LKAN.

Dalam perkembangan berlainan, Azam turut memaklumkan bahawa siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) sudah pun selesai dijalankan.

“Siasatan kes Menara KL sudah selesai dan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dan kita tunggu dalam masa terdekat ini apakah keputusannya,” katanya.

Sebelum ini, isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd. pada Oktober lalu.

Susulan itu, dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI