GEORGE TOWN – Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan akibat melecur pada badan dan muka dalam kejadian tong gas meletup di kediaman sewanya di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas di sini pagi tadi.
Mangsa berusia 54 tahun itu berjaya diselamatkan oleh jirannya sebaik menyedari kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi.
Ketika kejadian, mangsa yang hanya menyewa bilik di kediaman itu dikatakan berada seorang diri.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.18 pagi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik anggota tiba di tempat kejadian mendapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.
“Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Operasi berjaya dikawal pada pukul 10 pagi tadi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE