PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan membuka siasatan berhubung dakwaan anggota penguat kuasa tempatan menerima rasuah bagi melindungi operasi sindiket scammer antarabangsa yang diserbu 21 Februari lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki berkata, beliau juga percaya bahawa ada agensi penguatkuasaan tertentu yang disogok oleh sindiket berkenaan supaya melindungi aktiviti jenayah mereka namun tidak mahu mendedahkannya ketika ini.
“Kita percaya ada anggota penguat kuasa daripada agensi tertentu yang disogok dan tidak menolak juga kemungkinan bahawa aktiviti mereka dilindungi selama ini oleh pihak-pihak tertentu.
“Sewaktu serbuan dilakukan tempoh hari, beberapa nama tertentu yang dicatitkan oleh ahli sindiket turut ditemui dipercayai sebagai individu yang memberi perlindungan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Ops Tropicana yang turut disertai oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin di Obu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Azam berkata, sindiket berkenaan dianggotai oleh warga asing yang masuk ke negara ini sebagai pelancong, jadi tidak mustahil mereka akan membayar individu tertentu untuk mendapatkan pelindungan.
“Kita akan melihat kepada perkara ini dan sekiranya terbukti berlaku, sudah pasti kertas siasatan akan dibuka,” tegas beliau.
Pada masa sama, ketika ditanya mengapa operasi berkenaan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azam menjelaskan bahawa selain dari akta SPRM, Jabatan Imigresen (JIM) juga agensi lebih tepat untuk mengambil tindakan melibatkan warga asing.
“JIM juga mempunyai Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) yang boleh melakukan serbuan jadi kita anggap penglibatan JIM sebagai satu pakej dari segi perundangan dan operasi.
“Begitu juga dengan reman, mula-mula akan reman di bawah akta SPRM selama 14 hari, kemudian JIM pula akan melakukan penahanan selanjutnya jadi kita boleh selesaikan siasatan dengan cepat untuk dituduh di mahkamah,” ujar beliau.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan seramai 10 individu ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai Ops Tropicana yang menyasarkan warga United Kingdom dan Australia. – KOSMO! ONLINE