PETALING JAYA – Hidangan sotong goreng tepung yang dijual di premis-premis makanan terus menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Terbaru seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar hidangan tersebut yang hanya mengandungi sotong bersaiz terlalu kecil di dalamnya.
“Tak boleh hendak komen yang punya perangai macam ini. Kasihan orang yang membeli,” kata Mohd. Arif.
Pemilik akaun Facebook Saiful Mohd Nursyah pula berkata, menu sotong goreng tepung kini indah khabar dari rupa, manakala Man Seven menyindir pemilik premis mahu ‘pergi haji balik hari’.
Bagi Abu Ringgo, pelanggan sepatutnya tidak perlu berasa marah kepada peniaga disebabkan keadaan itu kerana harga barang kini semakin mahal.
“Sotong kecil pun RM30 (sekilogram). Barangan mahal. Kalau tidak jual (sotong goreng tepung) duit tak masuk.
“Hendak tunggu kerajaan umum barangan murah tidak tahu bila,” katanya. – KOSMO! ONLINE