ALOR GAJAH – “Hendak tangkap ikan, tapi dapat buaya.”
Itu antara pengalaman nelayan yang terpaksa berdepan ancaman sang bedal semasa mencari rezeki di sepanjang muara Sungai Linggi.
Seorang nelayan, Amy Ahmad, 53, berkata, setakat ini belum ada insiden melibatkan serangan buaya sepanjang 40 tahun dia menjadi nelayan.
Katanya, buaya di sungai itu tidak mengganggu manusia, sebaliknya bersifat ‘pemalu’ dan akan melarikan diri sekiranya ada bot mendekati atau berhenti berhampiran tempatnya berjemur.
“Saya kerap terserempak dengan buaya ketika air surut kerana haiwan ini suka berjemur.
“Saya menganggarkan populasi buaya di sungai ini kira-kira 600 ekor. Jumlah sebanyak itu menyebabkan ada buaya tersangkut pada pukat nelayan.
“Kalau buaya bersaiz kecil, saya akan lepaskan kembali ke sungai, tetapi jika besar, agak sukar kerana bimbang ia akan bertindak agresif. Nelayan boleh merasai jika jaring yang ditarik itu ada buaya atau tidak.
“Kalau terasa berat, kami akan biarkan dulu kerana yakin ada buaya di dalamnya. Beri masa untuk haiwan itu keluar kerana jika dibawa naik ke atas bot dikhuatiri mengancam keselamatan diri,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Muara Kuala Linggi di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Raikushairee Mohammad, 47, berkata, dia sering melihat kelibat anak-anak buaya berenang berhampiran jeti nelayan.
Menurutnya, disebabkan saiznya kecil, nelayan tidak berasa bimbang, namun tetap berwaspada kerana anak buaya yang masih kecil berada di bawah jagaan ibunya.
“Saya selalu lihat anak buaya berada berhampiran bot dan di celah-celah pokok. Bagaimanapun, sesekali ada juga kelibat buaya besar. Buaya juga pernah dilihat naik sehingga ke atas jalan untuk berjemur sebelum lari ke arah sungai apabila ada kenderaan mendekatinya,” katanya.