fbpx

Kafe saji pastri Perancis autentik dan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARIZA HANI menunjukkan sebahagian pastri Perancis yang ditawarkan di kafe FaSo Patisserie, Setia Alam, Shah Alam, Selangor. – Foto Saddam Yusof

BUNYI kerangupan lapisan kerak jelas didengari saat croissant dibelah dua.

Keratan rentasnya pula mempamerkan corak honeycomb, sekali gus menandakan croissant itu dibakar dengan sempurna.

Asas croissant itu dibuat dengan menggunakan adunan sourdough iaitu kombinasi tepung dan air yang telah difermentasi selama empat tahun.

Adunan berkenaan membantu roti mengembang dan memberikan keseimbangan rasa mentega serta gandum, sekali gus menjadikannya cukup enak dimakan begitu sahaja.

Tidak perlu terbang jauh ke Perancis untuk merasai keenakan tersebut, croissant merupakan pastri signatur di kafe FaSo Patisserie, Sunsuria Forum, Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Pemilik kafe berkenaan yang mahu dikenali sebagai Fariza Hani, 41, berkata, FaSo Patisserie menawarkan aneka pastri Perancis autentik dan halal.

Katanya, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan pastri diimport terus dari kota cinta tersebut.

“Sourdough perlu ‘disegarkan’ setiap hari dengan tepung dan air agar ia ‘naik’. Lepas itu, kita masukkan ke dalam adunan pastri.

“Proses pembuatan sourdough ini renyah serta mengambil masa agak lama. Kalau salah buat, ia tidak akan menjadi dan perlu buat lain.

“Sourdough ini sangat baik untuk sistem penghadaman berbanding penggunaan ibu roti biasa.

“Sesiapa yang makan roti dengan adunan sourdough tidak akan mengalami kembung perut,” katanya yang membuka kafe itu pada Ogos 2020.

ANTARA sajian enak yang ditawarkan.

Selain croissant, adunan sourdough menjadi asas kepada pastri lain yang diolah dengan pelbagai perisa seperti tiramisu, ferrero, strawberi custard, hazelnut, karamel dan banyak lagi.

Kepelbagaian inti pastri juga mengikut perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan ‘mood’ pembeli seperti musim durian serta cempedak.

Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai cita rasa baharu setiap kali mereka menjejakkan kaki ke kafe berkenaan.

Bagi melengkapkan pengalaman ala-ala di Perancis, pengunjung digalakkan untuk memesan kopi tanpa gula bagi mendapatkan keseimbangan rasa sempurna.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, pastri-pastri ditawarkan di kafenya merupakan resepi cef dari Perancis, Frederic Moreau.

Katanya, Moreau sudah berkhidmat di kafe tersebut selama dua tahun.

“Moreau telah membantu saya ketika mula-mula kafe ini dibuka.

“Semua staf kami telah dilatih melakukan proses laminasi berkali-kali bagi mendapatkan hasil akhir dengan lapisan yang rapi dan enak ketika dikunyah,” terangnya.

Menariknya, Fariza Hani turut memiliki kelulusan dalam bidang pastry and confessionary dari Britain dan Perancis.

PASTRI royal capsicum ini kelihatan cukup enak.

Ini membolehkannya memastikan semua resepi kekal asli biarpun perubahan kecil perlu dilakukan bagi memenuhi tuntutan Islam.

“Antara pastri tradisional yang dijual di sini adalah Paris brest, vanilla flan, French madeleine dan French canele.

Bagi French canele, resipi asalnya ditambah dengan rum (alkohol), tetapi di sini, kami buang elemen itu,” jelasnya.

Ujarnya lagi, kualiti merupakan aspek paling penting di kafe tersebut kerana rata-rata pelanggannya terdiri daripada peminat pastri Perancis.

Ketika ini, kafe itu sedang berusaha untuk menghasilkan pastri versi sejuk beku atas permintaan pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI